Takaful Malaysia isytihar dividen 14 sen sesaham bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

Takaful Malaysia isytihar dividen 14 sen sesaham bagi FY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Jan - Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (Takaful Malaysia) telah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 14 sen setiap saham biasa, berjumlah RM117.22 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).

 

Takaful Malaysia dalam satu kenyataan media berkata dividen itu akan dibayar kepada pemegang saham pada 2 Februari 2024.

 

Dividen yang diisytiharkan itu mencerminkan hasil dividen sebanyak 3.8% berdasarkan harga penutup saham kumpulan itu sebanyak RM3.70 pada 28 Disember 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata dividen tersebut menunjukkan kekuatan kewangan, gambaran positif dan komitmen kumpulan terhadap pulangan pemegang saham.

 

 

Nor Azman Zainal
Nor Azman Zainal

 

 

“Selain melabur dalam perniagaan kami untuk inovasi dan pertumbuhan kekal sebagai keutamaan, kami mengiktiraf kepentingan mengembalikan modal kepada pemegang saham.

 

“Dividen itu menekankan keyakinan kami terhadap daya tahan operasi dan komitmen kami untuk menyampaikan nilai kepada pemegang saham. Ketika kami dalam keadaan pasaran yang dinamik, kami kekal fokus pada pelaksanaan,” tambahnya.

 

Nor Azman berkata melangkah ke hadapan, Takaful Malaysia menjangkakan perniagaan bancatakaful, perbendaharaan, faedah pekerja dan takaful am akan terus berprestasi dan menjana pertumbuhan perniagaan.

 

“Kami akan memanfaatkan pertumbuhan positif rakan kongsi bank bagi mengekalkan peneraju pasaran kami dalam portfolio perniagaan banktakaful, membangunkan perniagaan takaful keluarga nasihat dan seterusnya menembusi pasaran pengguna runcit,” katanya. - DagangNews.com