Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Jan. - Sukar bagi pasaran saham Malaysia melonjak dan kekal lama untuk mencatatkan indeks melebihi paras 1,600.
Walaupun indeks pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI pada awal dagangan hari ini lebih tinggi daripada paras yang dibuka semalam, namun ia tetap menunjukkan trend penurunan.
Ketika dibuka pada 9 pagi, FBM KLCI merosot 1 mata untuk mencecah 1,601.95 daripada paras yang ditutup semalam, 1,602.95.
Namun, hanya selepas tiga minit dagangan, indeks penanda aras itu merudum bawah paras 1,600, menyusut kepada 1,599.31.
Namun, menurut Rakuten Trade Research, FBM KLCI yang menyaksikan pembelian agak besar semalam melebihi paras 1,600 mungkin mampu menguji paras 1,610 hari ini.
“Bagaimanapun, para pelabur masih bimbang terhadap pendirian kerajaan sekiranya melaksanakan perintah berkurung yang akan merencatkan lonjakan indeks.
“Sementara itu, memandangkan harga minyak mentah masih berada dalam keadaan pemulihan dengan Brent berlegar melebihi AS$54 setong, saham-saham minyak dan gas mungkin meraih minat dagangan,” jelas nota kajiannya.
Antara kaunter yang merudum termasuk Public Bank Berhad, IHH Healthcare Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Sime Darby Plantation Berhad, MMS Venture Berhad, RCE Capital Berhad, Li i Hen Industries Berhad, CIMB Group Holdings Berhad and MISC Berhad.
Di peringkat global, Rakuten Trade menjelaskan saham-saham di Amerika Syarikat (AS) melonjak selepas Kongres mengesahkan Joe Biden sebagai Presiden negara itu yang seterusnya.
Ini sekali gus melonjakkan beberapa indeks utama ke paras tertinggi.
Dow Jones Industrial Average melepasi paras 31,000, sementara Nasdaq menjangkaui paras 13,000 memandangkan dana-dana berterusan masuk ke dalam ekuiti.
“Oleh itu, kami percaya pasaran serantau akan menunjukkan trend lebih tinggi memandangkan dana asing kini memasuki pasaran-pasaran sedang membangun,” tambah firma penyelidik itu. - DagangNews.com