Abang Johari (empat dari kiri) merakamkan gambar kenangan di 'rotating globe' yang pertama dibina di Malaysia iaitu di Taman D-Virtual.
KUALA LUMPUR 12 Okt. - Taman D-Virtual yang dibangunkan dengan nilai RM13 juta dirasmikan di Kota Samarahan, Sarawak hari ini.
Menyempurnakan perasmian tersebut, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, taman tersebut merupakan taman realiti maya (VR) yang pertama di Borneo.
"Pembinaan taman tersebut selari dengan usaha kerajaan negeri yang menerapkan pendekatan digital dalam pengurusan ekonomi.
"Terletak di Jalan Meranek, Kota Samarahan, Taman D-Virtual dibangunkan oleh syarikat Serba Dinamik Group Berhad dengan kos RM13 juta," jelasnya dalam ucapan perasmian seperti dilapor DayakDaily.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Karim Abdul Rahman Hamzah.
Taman D-Virtual menawarkan kira-kira 10 perjalanan pengembaraan hiburan secara realiti maya dengan VR Elevation D'Luxe.
Taman berkenaan turut ditawarkan dengan tarikan lain termasuk VR Speed Cruiser, VR Quad Squad, VR Gyrate, VR D'Battleship, VR Knight Rider, VR Giant Slide, VR Trekker, VR Gatling Gun dan Enchanted Chamber.
Orang ramai berpeluang menikmati pengalaman hiburan seperti e-Sports Centre dan skrin layar Teater Hologram yang direka khusus bagi memaparkan sinematik paling berevolusi.
Sementara itu, Pengerusi Serba Dinamik Group Berhad, Datuk Abdul Kadier Sahib berkata, Taman D-Virtual pertama dibangunkan di Kota Samarahan kerana kawasan berkenaan adalah kawasan luar bandar.
"Taman ini juga berpotensi menjadi hab pembelajaran kerana berhampiran dengan beberapa pusat pengajian tinggi.
"Kami juga menekankan usaha untuk memberi kesedaran kepada penduduk luar bandar agar boleh menggunakan teknologi digital," jelasnya. - DagangNews.com