Taman perindustrian techpark@enstek fasa 3 dilancar dengan GDV RM1.36 bilion | DagangNews Skip to main content

Taman perindustrian techpark@enstek fasa 3 dilancar dengan GDV RM1.36 bilion

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Nov - Techpark@enstek Fasa 3, fasa terbaharu bagi taman perindustrian yang terletak di dalam perbandaran Bandar Enstek di Negeri Sembilan, dilancarkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.36 bilion.

 

Fasa 1 dan Fasa 2 taman perindustrian tersebut masing-masing telah terjual sebanyak 100% dan 88%. Secara keseluruhannya, tiga fasa tersebut membentuk 708 hektar tanah pegangan bebas di dalam 2,071 hektar perbandaran Bandar Enstek.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties Sdn Bhd, Azman Ibrahim berkata, pihaknya menjangka menerima permintaan kukuh dan stabil pada tahun depan daripada techpark@enstek Fasa 3, sejajar dengan permintaan tinggi dalam industri hartanah di Malaysia.

 

Beliau berkata, pihaknya berharap fasa terkini taman industri yang meliputi 249 hektar tanah kekal, akan mencatatkan peningkatan kukuh dalam jualan sama seperti dua fasa taman industri yang dilancarkan sebelum ini. 

 

Katanya, TH Prop optimis mengenai prospek pertumbuhan fasa, melihat kepada lokasi utama taman industri tersebut, sambungan akses dan kemudahan capaian yang lancar, serta respon dan dasar terbuka Kerajaan Negeri Sembilan terhadap pelabur, khususnya dalam industri berteknologi tinggi.

 

"Kami telah menerima pertanyaan daripada beberapa syarikat yang berminat dalam pembelian plot industri, dan kami optimis fasa ini akan mencatatkan permintaan yang sihat seperti trend yang direkodkan oleh dua fasa sebelumnya di techpark@enstek," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Azman berkata, sebagai salah satu pemain utama dalam industri, pihaknya percaya techpark@enstek mampu berkembang lebih jauh untuk menjadi nukleus perbandaran melalui pembangunan mampan.

 

 

th
Azman Ibrahim (kanan) bersama Exco Kerajaan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong (tengah) dan Pengerusi TH Properties, Datin Paduka Kartini Abdul Manaf melancarkan techpark@enstek Fasa 3 di ibu negara pada 16 November 2023.

 

 

Katanya, ia mampu meningkatkan keluaran dalam negara kasar per kapita negeri dari semasa ke semasa sekali gus membantu meningkatkan trajektori untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi tinggi.

 

techpark@enstek adalah taman teknologi pertama yang menerima status HALMAS oleh Halal Industry Development Corporation, yang kini menempatkan sejumlah besar syarikat multinasional dan jenama terkenal sejak dimulakan pada 2002.

 

Ia termasuk Ajinomoto Malaysia Berhad, Farm Fresh Berhad, Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn Bhd, Kellogg's Malaysia, Macfood Services (M) Sdn Bhd, Purecircle Sdn Bhd, Crown Records Management Malaysia, Hon Chuan Malaysia Sdn Bhd, Yuen Chun Industries Sdn Bhd dan Hokto Malaysia Sdn Bhd.

 

Selaras dengan piawaian syariah, teknologi canggih dan industri bersih, techpark@enstek Fasa 3 bakal dibangunkan dalam enam fasa untuk tempoh 14 tahun dan ia merangkumi plot perindustrian dan komersial serta kilang berkembar.

 

techpark@enstek merupakan hab bioteknologi dan halal utama di Negeri Sembilan yang turut menyalurkan perkhidmatan ke kawasan metropolitan Kuala Lumpur dan Selangor. 

 

Antara tarikan pelabur ke techpark@enstek adalah harga tanah yang berpatutan, infrastruktur tenaga yang kukuh, dan jarak yang dekat dengan ibu kota serta pintu masuk utama negara, seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang. - DagangNews.com