Tambah baik Belanjawan 2021 ambil kira semua pihak - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Tambah baik Belanjawan 2021 ambil kira semua pihak - Muhyiddin

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Penambahbaikan Belanjawan 2021 telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (RUU) ini dijalankan.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Belanjawan 2021 merupakan belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara dan sokongan ini membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun hadapan dengan teratur dan lancar.

 

Katanya, ini membuktikan Kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan amat responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu rakyat memulih serta menjana semula ekonomi negara yang terkesan teruk akibat pandemik COVID-19.

 

"Sokongan ini membuktikan kematangan Ahli-ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara lain," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Keputusan Belanjawan 2021 diumumkan yang Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pada pukul 3.28 petang diluluskan dengan sebulat suara manakala kurang 15 ahli Parlimen tidak bersetuju. 

 

RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang tanpa melalui undian belah bahagi.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu dan seramai 82 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang berlangsung dari 9 hingga 19 November. 

 

Menurut Muhyiddin, pendirian Ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu ahli-ahli politik
mengetepikan sementara politikin. 

 

"Ini bagi membolehkan belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan ancaman COVID-19," katanya. 

 

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Kerajaan PN adalah sebuah kerajaan yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan. 

 

"Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara," katanya. - DagangNews.com