Tambah nilai BigPay kini tersedia secara tunai di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Tambah nilai BigPay kini tersedia secara tunai di Malaysia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Platform fintech, BigPay telah meningkatkan perkhidmatan kewangannya dengan memperkenalkan kaedah tambah nilai secara bayaran tunai di seluruh negara.

 

Pengguna BigPay boleh membuat tambah nilai berkenaan di lebih 2,400 lokasi kedai serbaneka 7-Eleven, seluruh Malaysia.

 

Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani berkata, pembaharuan itu merupakan langkah yang besar untuk memastikan setiap individu mempunyai akses kepada perkhidmatan perbankan digital. 

 

Salim Dhanani
Salim Dhanani

 

“7-Eleven memiliki lebih banyak lokasi berbanding kebanyakan cawangan bank-bank di Malaysia. 

 

“Ini menjadikan BigPay sebuah kelebihan yang unik dalam menyediakan perkhidmatan kewangan di seluruh negara,” ujarnya dalam sebuah kenyataan hari ini.

 

Dilancarkan pada 2018, BigPay telah berkembang sebagai salah satu platform kewangan digital terbesar di Malaysia dari segi nilai transaksi kasar dengan lebih 1.3 juta pengguna di negara ini. 

 

BigPay membolehkan pengguna untuk membuka akaun dengan mudah menerusi telefon mudah alih selain membenarkan pemindahan wang secara segera dan percuma.

 

Tambah Salim, BigPay berhasrat untuk memberikan akses produk kewangan perdana kepada semua pengguna yang kebiasaannya hanya ditawarkan oleh bank-bank runcit, dengan kos yang lebih rendah. 

 

Sebagai sebahagian daripada misinya untuk mencabar perbankan dan menambah baik perkhidmatan kewangan menerusi fintech, BigPay mahu melebarkan sayapnya ke negara-negara ASEAN pada tahun ini. 

 

Syarikat itu juga menyasarkan pelancaran produk baharu termasuk pinjaman peribadi, insurans dan pengurusan harta. 

 

Dalam masa sama, BigPay ketika ini sedang menilai pendekatan tepat untuk memohon lesen perbankan digital di Malaysia dan pasaran lain. - DagangNews.com