‘Tambah’ saham VS Industry, saran CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

‘Tambah’ saham VS Industry, saran CGS-CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Firma penyelidikan, CGS-CIMB Research menyarankan untuk ‘tambah’ saham syarikat teknologi, VS Industry Berhad dengan harga sasaran (TP) ditingkatkan kepada RM3.12 sesaham. 

 

Penganalisis di CGS-CIMB, Syazwan Aiman Sobri melihat pertumbuhan jangka panjang yang disumbangkan oleh pemerolehan pelanggan baharu bertindak sebagai pemangkin penarafan semula saham VS Industry. 

 

“Kami sukakan VS Industry kerana strategi kepelbagaian pelanggan yang bersasar, memandangkan syarikat itu terbukti menerima keuntungan daripada pengalihan pembuatan ekoran ketegangan perdagangan.

 

“Risiko penurunan utama termasuk permintaan akhir produk yang lebih rendah daripada jangkaan, lengkungan kos pembelajaran yang tinggi bagi pengeluaran berfungsi untuk pelanggan baharunya, dan pemulihan margin yang lebih lemah,” jelas Syazwan Aiman dalam nota kajianya hari ini.

 

VS Industry mencatatkan keuntungan bersih teras bagi separuh pertama 2021 (1H21) meningkat 63.4% tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM132.3 juta. 

 

Tambah Syazwan Aiman, angka itu sejajar dengan unjuran CGS-CIMB, walaupun merangkumi kira-kira 60% dan 57%, masing-masing daripada ramalan firma itu dan  Bloomberg bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

Syarikat itu turut mengisytiharkan interim dividen kedua iaitu 1.2 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tempoh berkenaan menokok kepada 2.4 sen sesaham.

 

“Pada masa hadapan, kami difahamkan prospek buku tempahan VS Industry bagi pelanggan utama kekal kukuh, dengan beberapa model produk baharu telah mula dihasilkan secara berperingkat pada suku-suku akan datang. 

 

“Hasilnya, syarikat itu ketika ini secara agresif sedang mengembangkan kapasiti untuk memenuhi pangkalan pelanggannya yang lebih berpelbagai itu. 

 

“Kami mendapati kilang baharunya, bersaiz 414,000 kaki persegi di i-Park @ Senai Airport City, Johor berada di landasan tepat untuk dilengkapkan menjelang pertengahan 2021, di mana membolehkannya memenuhi permintaan pelanggan yang diperoleh pada tahun 2020,” jelas beliau lanjut.

 

Setakat 12.11 tengah hari, nilai saham VS Industry menokok 3 sen atau 1.06% kepada RM2.86. - DagangNews.com