NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 29 Nov - Selepas setahun lebih ditutup, laluan sempadan Johor-Singapura atau Tambak Johor dibuka secara rasminya hari ini menerusi pelancaran Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) sempadan darat.
Majlis pelancarannya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong.
Tambak Johor yang berusia 97 tahun dan pernah dianggap sebagai lintasan paling sibuk di dunia itu ditutup kepada kira-kira 400,000 pengguna harian sejak pertengahan Mac 2020 bagi menangani penularan virus COVID-19 merentasi sempadan.
Ismail Sabri melakukan perjalanan bersejarah hari ini dengan melintasi Tambak sejauh satu kilometer itu untuk memasuki Singapura, sebelum beliau bersama dengan delegasinya disambut Hsein Loong yang diiringi oleh empat menteri kabinet.
Majlis pelancaran VTL itu berlangsung di Woodlands Checkpoint dengan semua yang hadir memakai baju batik, lapor Bernama.
Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarbangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong; dan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.
Sementara itu, Hsein Loong diiringi oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Singapura, Teo Chee Hean; Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan; Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong; serta Menteri Pengangkutan dan Menteri bertanggungjawab Hubungan Perdagangan, S. Iswaran.
Semasa mengumumkan skim VTL darat pada 24 November lalu, pejabat Perdana Menteri Malaysia berkata, peringkat awal VTL akan dilaksanakan terhad kepada pengangkutan bas, dengan kuota harian tidak melebihi 1,500 individu.
Lain-lain bentuk pengangkutan darat akan dibenarkan secara berperingkat dengan kuota harian ditingkatkan secara mingguan.
Perkhidmatan bas untuk VTL darat ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral sebagai tempat mengambil dan menurunkan penumpang di sebelah Malaysia, manakala di Singapura ia ditetapkan di Queen Street Terminal.
Pengguna yang dibenarkan menyertai skim ini adalah warga Malaysia, Singapura, dan pemastautin serta pemilik Pas Jangka Panjang Singapura dan Malaysia.
VTL sempadan darat darat dilancarkan serentak dengan dengan VTL udara hari ini.
VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diumumkan pada 8 November lalu.
Kadar vaksinasi penduduk dewasa Malaysia dan Singapura telah mencapai lebih 95 peratus dan kadar vaksinasi yang tinggi ini memberikan peluang kepada keduadua negara untuk membuka semula sempadan negara secara beransur, selamat, sistematik, dan mampan.-Dagangnews.com