Tan Sri Abu Samah Nordin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemantauan Audit SC baharu | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Abu Samah Nordin dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pemantauan Audit SC baharu

Tan Sri Abu Samah Nordin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melantik Tan Sri Abu Samah Nordin sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit (AOB) berkuat kuasa 5 Januari 2024.

 

AOB SC memaklumkan, Abu Samah menggantikan Datuk Anantham Kasinather, yang menamatkan penggal tiga tahunnya sebagai pengerusi bukan eksekutif AOB pada 30 November 2023. 

 

"SC ingin menzahirkan penghargaan kepada Anantham atas kepimpinan dan sumbangannya kepada AOB sepanjang tempoh perkhidmatannya.

 

"Abu Samah membawa bersama pengalaman lebih 40 tahun dalam pelbagai kapasiti dalam agensi kerajaan dan perkhidmatan kehakiman," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Abu Samah dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman di Bahagian Komersial Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1994, sebelum menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Bahagian Komersial pada 1996.

 

Katanya, beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di Kuantan, Shah Alam dan Melaka antara 1997 dan 2003.

 

"Berikutan itu, Abu Samah kemudiannya menjadi Hakim di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2007.

 

"Beliau kemudiannya dinaikkan ke Mahkamah Rayuan pada tahun yang sama dan Mahkamah Persekutuan pada 2013 sebelum bersara daripada perkhidmatan kehakiman pada 2018," katanya.

 

Tambahnya, latar belakang dan pengalaman Abu Samah akan meningkatkan lagi keberkesanan peranan pengawasan AOB dan memupuk kepercayaan terhadap kualiti penyata kewangan yang telah diaudit di Malaysia. - DagangNews.com