Tan Sri Jamaludin Ibrahim dilantik sebagai pengarah pertama SEEK berpangkalan di Asia | DagangNews Skip to main content

Tan Sri Jamaludin Ibrahim dilantik sebagai pengarah pertama SEEK berpangkalan di Asia

Tan Sri Jamaludin Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov - SEEK, yang mengendalikan pasaran pekerjaan dalam talian Asia, JobStreet dan JobsDB, mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Jamaludin Ibrahim sebagai pengarah bukan eksekutifnya pada Mesyuarat Agung Tahunan syarikat itu. 

 

Berpangkalan di Kuala Lumpur, Jamaludin merupakan ahli lembaga pengarah pertama yang berpangkalan di Asia dalam sejarah SEEK, sejajar dengan peranan penting yang dimainkan Asia dalam strategi pertumbuhan masa depan syarikat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Asia SEEK, Peter Bithos berkata, Jamaludin menyertai Lembaga SEEK pada masa yang sesuai. 

 

"Setelah tiga teras pasaran pekerjaan dalam talian kami, SEEK, JobStreet dan JobsDB disatukan menjadi satu platform pada tahun hadapan, kami akan mempunyai keupayaan untuk meningkatkan kecekapan dan membuka peluang pertumbuhan yang luas di seluruh APAC. 

 

"Dengan Asia menjadi pasaran utama untuk SEEK, kepakaran luas Jamaludin dalam sektor teknologi, serta pemahaman cerdiknya tentang landskap perniagaan rantau ini akan menjadi berharga dalam membimbing kami dalam perjalanan kami ke hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Jamaludin berkata, beliau berbesar hati untuk menyertai lembaga pengarah SEEK dan teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan pertumbuhan berterusan syarikat teknologi itu di Asia. 

 

"Peranan ini amat bermakna kepada saya kerana tujuan SEEK untuk membantu orang ramai menjalani kehidupan kerja yang lebih memuaskan dan produktif serta membantu organisasi berjaya sejajar dengan semangat dan nilai saya. 

 

 

seek
Peter Bithos

 

 

"Saya berharap dapat menyumbang kepakaran saya untuk membantu SEEK memajukan cita-citanya dan memberi impak positif kepada berjuta-juta bakat dan majikan di rantau ini," katanya.

 

Jamaludin berpengalaman lebih 40 tahun di rantau Asia Tenggara, termasuk lebih 16 tahun dalam teknologi maklumat dan 23 tahun dalam telekomunikasi," katanya.

 

Beliau juga berkhidmat dengan Kerajaan Malaysia dalam pelbagai peranan, termasuk dilantik sebagai ahli Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Ekonomi Digital pada 2020 oleh bekas perdana menteri ketika itu.

 

 

seek

 

 

Pengalaman eksekutif Jamaludin termasuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group Bhd dari 2008 hingga 2020, dan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Communications Bhd selama lebih lapan tahun sebelum itu. 

 

Beliau juga mempunyai pengalaman eksekutif dengan syarikat multinasional, termasuk IBM dan Digital Equipment Corporation, selain sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, pemilik dan pengendali pengangkutan awam Malaysia, dan pengerusi milik persendirian QSR Brands Holdings Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd. 

 

Beliau juga merupakan pengarah bukan eksekutif syarikat senarai awam Sunway Bhd, satu konglomerat terkemuka Asia Tenggara dengan pelbagai kepentingan teras. - DagangNews.com