Tangani jurang untuk wujudkan ekonomi Islam lebih holistik - CEO Maybank Islamic | DagangNews Skip to main content

Tangani jurang untuk wujudkan ekonomi Islam lebih holistik - CEO Maybank Islamic

Datuk Mohamed Rafique Merican

KUALA LUMPUR 24 Mac - Ekonomi halal global sedang berkembang maju dan ia menawarkan peluang besar kepada industri kewangan Islam, kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Bhd, Datuk Mohamed Rafique Merican.

 

Walaupun wujud sedikit daya tarikan kebelakangan ini masih terdapat jurang yang perlu ditangani untuk menggabungkan kedua-dua ini bagi membentuk ekonomi Islam yang lebih holistik, katanya.

 

“Menerusi  penyelidikan dengan rakan forum kami baru-baru ini, IslamicMarkets.com pada Februari 2022, golongan profesional kewangan Islam menjangkakan pertumbuhan kukuh untuk ekonomi halal yang lebih luas.

 

''Tetapi mengunjurkan pertumbuhan lebih kukuh pada masa hadapan, jika sektor tersebut meningkatkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya dalam ucapan penutupnya pada ‘Global Connect Forum’ anjuran Maybank Islamic Bhd yang diadakan buat pertama kali, Rabu, lapor Bernama.

 

Menurut penyelidikan itu, 86 peratus daripada responden menjangkakan ESG dan kemampanan memainkan peranan yang lebih besar dalam mengembangkan ekonomi halal dalam tempoh tiga tahun akan datang.

 

Mohamed Rafique berkata perniagaan halal harus merebut peluang untuk meletakkan diri mereka lebih baik serta menerima pakai kemampanan dan pendigitalan –
kedua-duanya boleh menyediakan platform yang lebih kukuh untuk mereka kembali meraih keuntungan apabila ekonomi pulih.

 

“Sejak tiga hari lepas, kami telah mendengar persetujuan secara konsensus bahawa prinsip ESG jelas ada dalam ajaran Islam, menjadikan kewangan Islam sebagai penyokong semula jadi dan pemboleh kemampanan.

 

“Bagaimanapun, kadar amalan ESG dalam industri kewangan Islam berbeza merentasi pelbagai bidang kuasa, sesetengahnya mendahului yang lain dan selebihnya
ketinggalan,” katanya.

 

Mohamed Rafique berkata sebagai bidang yang sangat luas, ESG bukan hanya mengenai rangka kerja atau alat tetapi yang lebih penting, ia adalah mengenai cara pemain industri membina kapasiti dan mengintegrasikannya dalam amalan kewangan Islam.


 

maybank
Daya tarikan terhadap perbankan Islam masih terdapat jurang yang perlu ditangani.

 


“Terdapat juga cadangan untuk melipat gandakan tindakan kolaboratif dalam kalangan sektor swasta dan awam supaya  pengawal selia membawa arena ESG dan kewangan Islam ke dalam agenda kelestarian global.

 

"Kewangan Islam adalah kuasa sebenar untuk kebaikan, tetapi bagaimana kita menyokong amalan ESG ke dalam kewangan Islam untuk memaksimumkan impak sebenar, kewangan Islam berakar umbi dalam pendekatan berasaskan nilai,” katanya.

 

Beliau berkata kewangan Islam boleh memacu pergerakan kemampanan yang lebih luas sebagai elemen utama kehidupan ekonomi yang merangkumi keterangkuman dan memudahkan pelaburan untuk kebaikan sosial, sekiranya ia tidak terkeluar daripada aspek Maqasid al-Shariah.

 

Persidangan kepimpinan pemikiran global selama tiga hari yang diadakan secara maya dengan tema "Driving Sustainable Impact Through Islamic Finance" yang berakhir hari ini telah menarik lebih 500 peserta dari seluruh dunia. - DagangNews.com