KUALA LUMPUR 18 Okt - Kumpulan AmBank telah memberikan kemudahan pembiayaan RM450 juta kepada anak syarikat Eastern & Oriental Berhad (E&O), Tanjung Pinang Development (TPD) bagi memudahkan projek pembangunan Pulau Andaman, Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata kerja sama itu menjadi mercu tanda kepada sumbangan syarikat untuk mengurangkan kesan alam sekitar dan mempromosi masa depan yang lebih lestari.
“Kumpulan AmBank yakin dengan keupayaan kerjasama kami untuk memacu perubahan positif dan menyediakan penyelesaian pembiayaan yang akan memperkasakan Kumpulan E&O untuk meneruskan kerja cemerlang mereka dalam pembangunan hartanah yang mampan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Christopher Yap menambah bahawa bank itu berharap untuk terus mengembangkan peluang pada tahun-tahun akan datang dan bekerjasama dengan pelanggan yang berkongsi matlamat sama dalam membina ekonomi yang lebih hijau.
“Komitmen mereka terhadap kemampanan dan inovasi bukan sahaja memperoleh pengiktirafan industri tetapi juga meningkatkan standard untuk pembangunan hartanah yang bertanggungjawab.
“Kami amat berbangga dalam menyokong inisiatif hijau berwawasan mereka dengan pembiayaan, dan kami berharap untuk terus berjaya bersama-sama dalam membentuk masa depan yang lebih lestari,” ujar beliau.
Pengerusi Eksekutif E&O, Datuk Tee Eng Ho berkata sokongan berterusan daripada AmBank membantu syarikat itu merealisasikan visi untuk Pulau Andaman Fasa 1 yang dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM17 bilion dan akan dibangunkan dalam tempoh 15 tahun.
“Keseluruhan projek ini direka berdasarkan konsep pembangunan bercampur unik yang mengutamakan kehidupan lestari, ketersambungan sangat baik dan pembinaan komuniti.
“Kerja kami telah diiktiraf dengan pencapaian Pensijilan Sementara GreenRe Platinum untuk projek pembangunan perbandaran Pulau Andaman Fasa 1 di bawah kategori perbandaran, menjadi yang pertama di Malaysia,” katanya.
Menurut Eng Ho, The Meg dan Arica, yang dilancarkan masing-masing pada Disember 2021 dan Mac 2023, turut menerima pengiktirafan tersebut di bawah kategori kediaman.
Sejak pelancaran projek pertamanya, The Meg, lebih 1,400 unit telah dilancarkan dan 330 unit lagi dijangka dilancarkan pada tahun depan.
Setiap bangunan di pulau bandar itu telah direka bentuk untuk memenuhi piawaian Pensijilan Bangunan Hijau, di mana E&O bekerjasama rapat dengan arkitek dan pembina untuk meminimumkan penggunaan bahan mentah baharu dengan meneliti bahan bagi mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kitaran hayat bahan yang digunakan. - DagangNews.com