Taraf saranan QL Resources disemak naik kepada ‘beli’ kesan pendapatan 1QFY24 melebihi jangkaan – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan QL Resources disemak naik kepada ‘beli’ kesan pendapatan 1QFY24 melebihi jangkaan – RHB Investment

Gambar ihsan FB FamilyMart Malaysia
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - RHB Investment menaikkan taraf saranan saham QL Resources kepada ‘beli’ daripada ‘neutral’ dengan menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM6.12 sesaham berbanding RM5.64 sebelumnya.

 

Mengulas tentang prospek kumpulan, firma penyelidikan itu berkata momentum pendapatan dijangka terus meningkat pada suku-suku akan datang, memandangkan kekuatan bermusim bagi perniagaan pembuatan produk marin (MPM) dan kos input berkurangan.

 

“Di samping itu, keadaan pasaran yang bertambah baik di Indonesia dan daya tarikan positif di Malaysia harus terus mengekalkan asas pendapatan penternakan bersepadu (ILF) yang tinggi.

 

“Sementara itu, pendapatan minyak sawit dan tenaga bersih (POCE) dijangka stabil, hasil daripada penambahbaikan kecekapan dan impak pertukaran mata wang asing yang lebih rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

RHB Investment berkata pendapatan QL Resources bagi suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) mengatasi jangkaan tahun penuh firma dan konsensus masing-masing pada 24% dan 27%, didorong pertumbuhan segmen MPM dan ILF yang lebih kukuh.

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, firma itu berakta pendapatan kumpulan pada suku berkenaan telah meningkat 5% kepada RM1.6 bilion, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) bernilai RM136 juta, melonjak 26%.

 

Oleh itu, firma tersebut meningkatkan unjuran pendapatan kumpulan bagi FY24-26 sebanyak 10% hingga 13% kerana andaian margin sebelum ini terlalu konservatif.

 

“Dengan itu, kami percaya jangkaan kelemahan margin sebelum ini adalah terlalu berhati-hati, dan kami kini meramalkan pertumbuhan 11% YoY dalam pendapatan tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY24), berikutan pertumbuhan pesat 60% YoY kumpulan pada FY23,” jelasnya.

 

Di samping itu, RHB nvestment berkata ia bertukar positif terhadap saham kumpuilan, memandangkan penilaiannya yang lebih menarik di samping pertumbuhan pendapatan syarikat yang semakin pesat ke hadapan.

 

Di sebalik kelemahan sentimen pengguna dan pertumbuhan lebih perlahan global, firma itu berpendapat bahawa QL Resources akan dapat mengatasi prestasi syarikat pesaingnya dengan menawarkan keterlihatan pendapatan lebih baik, disebabkan kepelbagaian model perniagaannya dan permintaan produk berdaya tahan.

 

Pada waktu penulisan, saham QL Resources naik 12 sen atau 2.2% kepada RM5.52 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM13.4 bilion. - DagangNews.com