Taraf saranan sektor sarung tangan dinaikkan kepada 'Overweight', Kossan, Hartalega jadi pilihan PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Taraf saranan sektor sarung tangan dinaikkan kepada 'Overweight', Kossan, Hartalega jadi pilihan PublicInvest

Gambar Kossan Rubber Industries
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Sept - Public Investment Bank (PublicInvest) Research menaik taraf saranan sektor sarung tangan getah kepada 'Overweight' berikutan berapa petunjuk positif yang memihak idustri itu kebelakangan ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, mereka optimis mengenai prospek sektor sarung tangan Malaysia, didorong oleh peningkatan volum jualan, kenaikan Harga urata jualan (ASP) dan peningkatan kecekapan operasi.

 

"Dengan kos bahan mentah yang dijangka kembali normal pada separuh kedua 2024 (2HCY24), kami meramalkan pengembangan margin yang akan meningkatkan keuntungan. 

 

"Pilihan utama kami adalah Kossan Rubber Industries Berhad dan Hartalega Holdings Berhad. Secara keseluruhan, kami menaikkan penarafan sektor sarung tangan getah daripada 'Neutral' kepada 'Overweight'.

 

"Harga saham sarung tangan telah turun kira-kira 25% sejak akhir Julai 2024 disebabkan pembetulan pasaran global; kami melihat ini sebagai peluang baik untuk mengumpul kerana kami menjangka keuntungan akan meningkat secara berurutan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut PublicInvest, sektor sarung tangan Malaysia menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang menjanjikan, dibuktikan dengan peningkatan volum jualan dan kenaikan ASP yang telah menjadi pendorong kepada pertumbuhan hasil secara berurutan. 

 

"Sebagai tindak balas kepada peningkatan kadar penggunaan, pemain utama sedang menambah kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kossan keluar daripada kerugian, raih RM31.34 juta pada 2QFY24 didorong jualan tinggi

 

"Kami menjangkakan kos bahan mentah akan kembali normal dan harga gas asli akan menurun pada 2HCY24, memberikan ruang untuk mengekalkan margin operasi," jelasnya.

 

PublicInvest berkata, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka mempunyai kesan yang minimum terhadap keuntungan bersih, kerana normalisasi kos bahan mentah yang dinyatakan dalam dolar mencipta lindung nilai semula jadi terhadap turun naik harga sarung tangan. 

 

"Oleh itu, kami tidak menjangkakn sebarang impak ketara terhadap kos operasi atau keuntungan disebabkan oleh pergerakan mata wang," ujarnya. - DagangNews.com