TAS Offshore berpotensi raih manfaat dari pertumbuhan industri arang batu dan nikel di Indonesia - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

TAS Offshore berpotensi raih manfaat dari pertumbuhan industri arang batu dan nikel di Indonesia - RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - TAS Offshore Bhd berpotensi memanfaatkan pertumbuhan pasaran bot tunda yang dipacu oleh peningkatan permintaan untuk pengangkutan maritim, kerancakan aktiviti perlombongan arang batu di Indonesia, permintaan kukuh nikel dan pelaburan China dalam rizab nikel Indonesia, kata RHB Investment.

 

"Dengan nilai kontrak melebihi RM200 juta untuk pembinaan bot tunda bagi menyokong perlombongan arang batu dan nikel di Indonesia, kami menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan dalam tahun kewangan berakhir 31 Mei 2023 hingga 2026 (FY23-26) sebanyak 85%. 

 

"Ditambah dengan tunai bersihnya kira-kira RM43.5 juta, nisbah harga kepada pendapatan (P/E) kecuali tunai pada 2024 hanya 2.2 kali, menjadikannya menarik," katanya dalam nota penyelidikan itu sambil meletak nilai saksama (FV) TAS Offshore pada 57 sen sesaham

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat itu kini memberi tumpuan kepada pembinaan bot tunda, yang pasarannya dijangka berkembang pada CAGR 2023-2030 sebanyak 11%, menurut Reliable Research Reports. 

 

Dengan buku pesanan yang kukuh, syarikat dengan pengalaman pembinaan kapal lebih 30 tahun itu telah menambah pekerja operasinya sebanyak 50% tahun ke tahun (YoY) untuk mencapai lebih 400 orang, termasuk kontraktor penyumberan luarnya.

 

"Pada masa ini, limbungan pembinaan kapalnya di Sibu, Sarawak beroperasi pada kapasiti penuh dan akan terus sibuk sehingga FY25. Memandangkan hasil hanya diiktiraf selepas penyiapan bot tunda, kami menjangkakan hasil meningkat secara bermakna apabila ia menghantar lebih banyak kapal dalam masa tidak lama lagi," tambahnya.

 

Sementara itu, RHB Investment mendedahkan bahawa Indonesia menganggarkan pengeluaran arang batunya mencapai tahap lebih tinggi dan eksport meningkat pada 2023, sebahagian besarnya disebabkan oleh jangkaan permintaan tinggi dari India dan China, iaitu rakan kongsi eksport arang batu utama negara itu. 

 

"Penggunaan arang batu domestik di Indonesia dijangka berkembang secara konsisten sehingga 2029 dengan kilang arang batu baharu dalam perancangan. 

 

"Prospek positif bagi industri perlombongan arang batu Indonesia dijangka merangsang permintaan untuk lebih banyak bot tunda bagi menyokong pengangkutan bahan pukal antara pulau," katanya.

 

Selain kilang arang batu yang diperlukan bagi pengeluaran nikel ditapis, firma itu berkata Indonesia juga memerlukan bot tunda untuk mengangkut bahan pukal nikel, di mana permintaan global meningkat pantas disebabkan penggunaan logam sebagai input katod bagi bateri kenderaan elektrik.

 

"International Nickel Study Group(INSG) menjangkakan permintaan nikel meningkat  8% tahun ini dan 9% lagi pada 2024 dengan permintaan EV bergerak pantas," tambahnya.

 

Pada pukul 10:29 pagi ini, saham TAS Offshore menokok 3.5 sen atau 9.5% kepada 40.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM72.9 juta. - DagangNews.com