Tasamuh mampu jadi alat menyatupadukan Islam dan dunia, selaras konsep Keluarga Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

Tasamuh mampu jadi alat menyatupadukan Islam dan dunia, selaras konsep Keluarga Malaysia - PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menghadiri Persidangan Ulama' Asia Tenggara 2022 di Sunway Resort, Subang Jaya, Selangor hari ini. - Gambar BERNAMA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SUBANG JAYA 30 Jun - Konsep Tasamuh yang bermaksud toleransi atau berlapang dada mampu menjadi alat untuk menyatupadukan warga Islam serta dunia, dan seharusnya konsep ini diterapkan dalam kalangan negara yang mempunyai bangsa dan budaya majmuk seterusnya diperluaskan sehingga ke peringkat dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, konsep Tasamuh turut mengutamakan nilai kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.

 

Beliau berkata, Islam merupakan agama yang membawa rahmat, meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia, malah Islam sentiasa menyeru kepada kebaikan, meningkatkan solidariti serta mahabbah (kasih sayang sesama manusia) selaras dengan konsep Tasamuh.

 

"Konsep ini yang turut bermakna bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi, telah ditekankan oleh kerajaan supaya menjadi sebahagian daripada amalan kehidupan Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

 

"Konsep Keluarga Malaysia ini mampu disempurnakan oleh para ulama dan Ilmuwan Islam dengan memberi pendekatan ertikata kesatuan melalui Konsep Keluarga berlandaskan Islam," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ulama' Asia Tenggara 2022 di Sunway Resort, di sini hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, kehadiran perwakilan luar negara di persidangan tersebut membuktikan keseriusan pihak penganjur dalam meningkatkan solidariti Islam dan ummah serta memainkan peranan mengharmonikan hubungan antara umat Islam dan pelbagai golongan masyarakat. 

 

Ismail Sabri berkata, persidangan ini diadakan ketika umat Islam masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pertikaian sesama sendiri, provokasi pihak tertentu dan Islamophobia atau pandangan prejudis terhadap Islam. 

 

"Saya berpendapat, penyelesaiannya perlu dicari dan ini memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak supaya kesucian agama Islam dan solidariti ummah dapat dipertahankan. Kita telah diingatkan apabila berlakunya sesuatu perselisihan faham, umat Islam perlu kembali kepada tuntutan agama. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika," katanya.

 

Beliau berkata, bibit-bibit perpecahan boleh ditangani sekiranya kembali kepada ajaran yang paling asas, iaitu berpegang kepada al-Quran dan Sunnah. 

 

"Mukjizat al-Quran secara keseluruhan menyerlahkan semangat kesatuan, dan salah satu falsafah kesatuan yang kerajaan pilih ialah Keluarga Malaysia, satu istilah yang bertepatan dengan ajaran dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW," katanya.

 

Katanya, kerajaan sedar ulama dan ilmuwan Islam memainkan peranan yang penting bagi memastikan landasan yang dipilih bertepatan dengan jalan yang lurus, siratul mustaqim, justeru sentiasa mengalu-alukan pandangan dan nasihat ulama serta ilmuwan Islam demi kesejahteraan Keluarga Malaysia di dunia dan di akhirat.

 

Beliau berkata, baru-baru ini dunia Islam digemparkan dengan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW di India melalui tindakan yang bersifat provokasi sehingga menggugat keharmonian masyarakat berlainan agama di negara berkenaan. 

 

Jelasnya, insiden berkenaan mendapat bantahan bukan sahaja daripada umat Islam di India, tetapi juga masyarakat antarabangsa termasuklah Malaysia. 

 

"Tindakan menghina Rasulullah SAW merupakan perkara yang amat sensitif dan menjadi kewajipan seluruh masyarakat Islam untuk bertindak balas tetapi ia perlu dilakukan mengikut kerangka tuntutan agama. Ini adalah untuk mengelakkan kita terperangkap dengan mainan pihak tertentu yang ingin mencetuskan permusuhan antara penganut pelbagai agama. 

 

"Begitu juga tentang kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang ditindas secara berterusan dan dibunuh dengan kejam tanpa adanya sebarang usaha untuk menghalang dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

 

"Ketika lawatan saya ke Amerika Syarikat tempoh hari, saya telah membangkitkan supaya isu kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)," tegasnya.

 

Beliau berkata, perpaduan dan kesatuan ummah perlu menjadi keutamaan umat Islam, sepertimana dianjurkan oleh prinsip Fiqh Keutamaan (fiqh awlawiyyat) berikutan meningkatnya ancaman terhadap kesucian Islam kebelakangan ini. 

 

"Pengukuhan perpaduan dan kesatuan ummah hendaklah berasaskan kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pendekatan ini penting bagi memastikan dakwah dan penyampaian ajaran Islam bertepatan dengan kehendak Islam, bersifat wasatiyah dan memberi rahmat kepada sekalian alam. 

 

"Umat Islam perlu disedarkan bahawa usaha merealisasikan perpaduan ini perlu merentasi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi. Tumpuan utama adalah kemaslahatan ummah serta menolak fahaman pelampau dan ekstrem.

 

"Justeru, semua ulama dan ilmuwan Islam perlu berbincang, bermuafakat, bersatu dan menggembleng pemikiran masing-masing bagi menghasilkan penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi umat Islam seluruh dunia. Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai satu ummah," katanya.

 

Beliau berharap agar seluruh ulama dan Ilmuwan Islam dapat mencari kata sepakat dan memainkan peranan efektif ke arah kesatuan dan mewujudkan khaira ummah. 

 

"Saya juga berharap semua input dan pandangan yang dibincangkan sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada satu usaha yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com