Tasco diunjur catat pemulihan hasil, margin pada 2QFY25 selepas penyelarasan harga penghantaran barangan - Apex Securities | DagangNews Skip to main content

Tasco diunjur catat pemulihan hasil, margin pada 2QFY25 selepas penyelarasan harga penghantaran barangan - Apex Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Tasco Bhd diunjur mencatatkan pemulihan hasil dan margin pada 2QFY25 terutama selepas kumpulan itu menyelaraskan harga perkhidmatan penghantaran barangan kepada pelanggan.

 

Apex Securities bagaimanapun behati-hati terhadap margin perniagaan penghantaran barang disebabkan ketidaktentuan semasa kadar tambang antarabangsa.

 

"Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dijangka tidak menguntungkan kumpulan dan ia dijangka memberi kesan kepada margin keuntungan mereka.

 

"Perniagaan domestik dijangka kekal tidak berubah sementara menunggu penyiapan gudang baharu secara tentatif pada 2026," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Tasco susut lebih 50% kepada RM7 juta pada 1QFY25

 

Terdahulu, hasil bagi 1QFY25 juga menyusut kepada RM250 juta berbanding RM253 juta bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

 

Pendapatan segmen rumusan perniagaan antarabangsa (IBS) meningkat sebanyak RM15.6 juta atau 18.3% daripada RM85.2 juta kepada RM100.8 juta manakala DBS mencatatkan kejatuhan jualan sebanyak 11.2%, susut daripada RM168 juta kepada RM149.1 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Tasco merancang meningkatkan kontrak semasa dengan pelanggan bagi perniagaan penghantaran barang untuk menguruskan turun naik kadar tambang dengan lebih baik.

 

Bagi tiga bulan akan datang, kumpulan itu telah memasukkan peratusan penimbal ke dalam kontrak tender dengan kedua-dua pelanggan mengurangkan kesan kenaikan kadar tambang.

 

"Kos pembinaan untuk gudang baharu setinggi empat tingkat dengan keluasan 400,000 kaki persegi telah meningkat dengan ketara disebabkan kos bahan yang lebih tinggi.

 

"Bagaimanapun,ia tidak akan menjadi kebimbangan utama terhadap kadar penghunian masa hadapan kerana sesetengah pelanggan sedang menggunakan gudang sumber luar. Pada masa ini, harga untuk Pusat Logistik Shah Alam (SALC) ialah RM2 bagi setiap kaki persegi sebulan," katanya.

 

Apex Securities mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.15 sesaham. - DagangNews.com