KOTA KINABALU 27 Mei - Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC) ditubuhkan di bawah Kumpulan Yayasan Sabah dengan kerjasama strategik Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) melancarkan promosi 'Taste Of Sabah' di London pada 12 Mei lalu, yang mengutamakan produk perusahaan kecil dan sederhana negeri di bawah bayu ini.
Pengarah GLOPEC, Azmi Aziz berkata, GLOPEC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang bakal membuka pasaran di United Kingdom (UK) dan Kesatuan Eropah (EU).
Beliau mengingatkan semua pengeluar barangan, pengusaha dan ahli perniagaan di Sabah bahawa proses memasarkan produk-produk tempatan ke pasaran dunia bukan satu proses yang mudah.
'Satu faktor yang tidak boleh dielakkan ialah produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mesti mempunyai pensijilan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia dan komuniti perniagaan global,' kata Azmi kepada DagangNews.com baru-baru ini.
Azmi berkata, pengeluar-pengeluar bumiputera perlu mempunyai syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai premis atau kilang yang ada keupayaan untuk menghasilkan barangan sepanjang tahun, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP), Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan lain-lain lagi.
Menurutnya, pensijilan HACCP adalah penting untuk pasaran antarabangsa. Pensijilan HACCP ialah piawaian antarabangsa yang mentakrifkan keperluan untuk kawalan keselamatan makanan yang berkesan.
“Penjelasan ini adalah penting untuk memastikan semua PKS Sabah memahami sepenuhnya bagaimana perwakilan dipilih untuk misi perniagaan ke London dan bukannya melalui pilih kasih,' kata Azmi.
Misi ke London kali ini termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; tujuh wakil PKS dan pegawai-pegawai eksekutif GLOPEC.
Aktiviti promosi 'Taste Of Sabah' ini telah menyaksikan 11 jenis produk yang dibahagikan kepada 4 kategori iaitu, minuman, kosmetik, makanan ringan dan sos makanan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad telah mengetuai Misi Promosi dan Jualan Produk Bumiputera Sabah ke United Kingdom (UK), 'Taste Of Sabah' dari 9-16 Mei.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK, Zakri Jaafar dan Pengarah Yayasan Sabah merangkap Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) Datuk Seri Ghulam Haidar @ Yusof Khan Bahadar, Pengarah GLOPEC Azmi Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Md Silmi Abdul Rahman dan wakil-wakil PKS Sabah.
Azmi berkata, GLOPEC berperanan sebagai pihak hubungan yang terlibat dengan semua agensi berkaitan pensijilan, pematuhan SOP perniagaan dan memahami amalan perniagaan antarabangsa, serta memberi perhatian yang terperinci kepada tujuh prinsip pemasaran. - DagangNews.com