Tata hentikan bayaran jika AirAsia Group gagal suntik dana | DagangNews Skip to main content

Tata hentikan bayaran jika AirAsia Group gagal suntik dana

 

 

 

KUALA LUMPUR 9 Dis. - Syarikat konglomerat India, Tata Group dilaporkan akan menghentikan bayaran tertunggak oleh AirAsia (India) Ltd. kepada AirAsia Group sekiranya ia gagal menyuntik dana dalam usaha sama syarikat penerbangan tambang murah itu sebelum 31 Disember 2020. 

 

Menurut The Economic Times (ET) yang memetik klausa dalam perjanjian pemegang saham AirAsia India, Tata juga akan mula menolak tunggakan itu dan mengeluarkannya daripada pemegang ekuiti AirAsia India jika AirAsia Group gagal membawa masuk dana dengan langganan tawaran hak sekurang-kurangnya 300 juta rupee (RM166 juta). 

 

"Perkembangan ini menunjukkan tekanan antara sekutu perniagaan sejak akhir-akhir ini. 

 

"AirAsia India, merupakan usaha sama 51:49 yang mana Tata merupakan pemegang saham utama, AirAsia berhutang sebanyak 489 juta rupee berdasarkan penyata kewangan terkini," jelas laporan itu semalam yang dipetik The Edge. 

 

Bagi membolehkan AirAsia India terus terbang di sebalik pandemik COVID-19, Tata telah menyuntik sebanyak 300 juta rupee pada Julai lalu. 

 

"Klausa baharu telah dimasukkan dalam perjanjian pemegang saham ketika itu, menurut sumber yang rapat kepada ET," katanya. 

 

Sebelum ini dilaporkan AirAsia India berhutang dengan AirAsia Group dalam akaun duit yang sepatutnya dikutip untuk penjualan tiket operasi yang dikendalikan kumpulan AirAsia Group.

 

Berdasarkan laporan, AirAsia India juga menggunakan perkhidmatan syarikat AirAsia Group termasuk penyelenggaraan untuk pesawat dan menggunakan barangan dan majalah dalam pesawat dari AirAsia Group. 

 

"Sebahagian daripada hutang itu akan mula diubah kepada ekuiti dalam syarikat penerbangan AirAsia India jika syarikat induk gagal menyuntik dana menjelang hujung tahun ini," kata laporan berkenaan. 

 

Bagaimanapun, menurut ET, Tata dan AirAsia India serta AirAsia Group tidak mahu memberi sebarang komen. 
 

Berdasarkan laman web AirAsia Group, ia memiliki 49% dalam AirAsia India, menerusi AirAsia Investment Ltd. yang dimiliki sepenuhnya. - DagangNews.com