‘Tauke’ Pavilion KL dilapor mahu beli lapangan terbang Subang, MAHB dakwa perkara biasa | DagangNews Skip to main content

‘Tauke’ Pavilion KL dilapor mahu beli lapangan terbang Subang, MAHB dakwa perkara biasa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Mei - Ahli perniagaan dan pemilik pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, Tan Sri Desmond Lim Siew Choon dilaporkan berhasrat untuk mengambil alih Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, bernilai RM3.7 bilion. 

 

Syarikat pemaju, WCT Holdings Berhad - di mana Lim merupakan pemegang saham terbesar, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Subang Skypark Sdn Bhd (SSSB) didakwa mengeluarkan cadangan untuk memasuki konsesi baharu bagi mengoperasikan lapangan terbang tersebut sehingga 2092, menurut laporan The Vibes.

 

Namun, pihak berkepentingan dalam lapangan terbang berkenaan membantah langkah tersebut ekoran pengambilalihan itu dijangka mendatangkan kerugian sehingga kira-kira RM11.9 bilion.

 

SSSB dipercayai membuat cadangan itu kepada Kementerian Pengangkutan dengan menyasarkan penumpang dari satu tempat ke tempat lain dan muatan ekspres serta pembangunan hartanah yang berkaitan.

 

Sebanyak RM3.7 bilion dilaporkan sebagai nilai pelaburan awal tanpa pembiayaan kerajaan, di mana RM1.7 bilion dilaburkan untuk terminal penumpang dan jet eksekutif, manakala RM2 bilion lagi akan digunakan untuk pembangunan bandar lapangan terbang bagi tempoh 10 tahun akan datang.

 

SSSB bagaimanapun dikatakan tidak berhasrat untuk menyaingi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) memandangkan pasarannya tertumpu kepada pelancong perniagaan premium.

 

Dalam pada itu, syarikat berkenaan didakwa akan berunding berkenaan pampasan dengan pemilik lapangan terbang tersebut, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan pakar penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih, Airod Sdn Bhd untuk mengosongkan lapangan terbang.

 

MAHB dalam satu kenyataan lewat petang semalam menjelaskan cadangan yang dihantar kepada kerajaan untuk membina atau mengambil alih lapangan terbang merupakan perkara biasa. 

 

Jelas kumpulan itu, cadangan berkenaan telah berlaku beberapa kali sebelum ini dan sebagai sebahagian daripada proses tersebut, kerajaan akan mendapatkan pandangan  awal daripada MAHB dan Malaysia Airlines Group.

 

“Adalah penting untuk mendapatkan pandangan daripada pengawal selia seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) sebelum sebarang keputusan dibuat. 

 

“Buat masa ini, kami belum lagi diberikan perincian berhubung cadangan itu dan juga tiada perbincangan dilakukan dengan kerajaan berhubung perkara itu,” jelas MAHB. - DagangNews.com