Tawar harga lebih premium bagi KAIA Height, AmInvestment masih berhati-hati dengan prospek UEM Sunrise | DagangNews Skip to main content

Tawar harga lebih premium bagi KAIA Height, AmInvestment masih berhati-hati dengan prospek UEM Sunrise

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Jan - AmInvestment Bank Research mengulangi saranan 'pegang' terhadap UEM Sunrise Bhd. dengan nilai wajar tidak berubah pada 38 sen sesaham selepas mengekalkan anggaran jualan dan kadar pengambilan bagi projek pembangunan KAIA Heights. 

 

Penganalisisnya, Lee Ching Poh berkata, harga yang ditawarkan didapati 25% lebih tinggi berbanding pembangunan kediaman bertingkat lain yang berhampiran seperti One Equine. 

 

Katanya, harga jualan bagi projek yang terletak di Seri Kembangan, Selangor itu bermula daripada RM567,800 hingga RM873,000 untuk 5 pelan lantai berbeza dengan unit bersaiz 972 hingga 1,437 kaki persegi.

 

"Bagaimanapun, bagi kami harga tersebut adalah munasabah memandangkan projek ini menawarkan pelbagai kemudahan termasuk gelanggang futsal, bola keranjang dan laluan joging, dengan 42% daripada kawasannya diperuntukkan untuk persekitaran hijau dan kemudahan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, UEM Sunrise merasmikan pembukaan bilik pameran KAIA Heights yang menampilkan kediaman bertingkat atas bukit eksklusif di Equine Park, Seri Kembangan.

 

KAIA Heights direka untuk menginspirasikan pengalaman hidup yang ceria dengan keinginan untuk menyediakan ruang tempat kepada penduduk untuk mencari kualiti hidup yang lebih baik bagi diri serta ahli keluarga.

 

Terletak di puncak bukit yang dikelilingi Persiaran Equine Perdana dan Jalan Equine, setiap unit dalam pembangunan 7.79 hektar menawarkan pemandangan tanpa halangan menghadap sekitar Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, Bukit Jalil atau Hutan Simpan Ayer Hitam.

 

Dikelilingi oleh kehijauan semula jadi, KAIA Heights menyediakan lapangan alam semula jadi yang terpelihara seluas 2.4 hektar dan landskap berukuran 3.24 hektar serta kemudahan yang memenuhi keperluan keluarga pelbagai generasi yang ingin mencari ketenangan hidup.

 

Menurut Ching Poh, sejak dilancarkan kali pertama pada Mac 2021 di tengah-tengah sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19, projek tersebut mencapai kadar pengambilan 50% bagi kedua-dua Menara A dan B manakala Menara C dan D dijangka dilancarkan akhir tahun ini. 

 

"Kami melihat momentumnya semakin meningkat berikutan pelancaran rasmi bilik pameran KAIA Heights dan sekatan pergerakan yang semakin longgar. 

 

"Malah, kami juga selesa dengan rekaan produk dan pelan lantai yang menawarkan kepadatan rendah kerana hanya menempatkan 10 unit bagi setiap tingkat di Menara A dan B, dengan 60% adalah unit tepi," katanya.

 

Namun, katanya, kekurangan tenaga buruh dilihat sedikit sebanyak menjejaskan kemajuan projek dengan kadar pembangunan hanya 11% setakat ini. 

 

Fasa pertama KAIA Heights dijangka siap pada suku pertama 2025 dengan pembangunan secara keseluruhannya akan menempatkan sekitar 924 unit dengan purata 48 unit setiap ekar. 

 

Dalam pada itu, beliau juga kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek UEM Sunrise yang mungkin mengambil masa yang lama untuk pulih daripada kesan pandemik. - DagangNews.com