Tawaran jual pesawat CN-235 kepada Filipina dapat kukuhkan status industri pertahanan Indonesia | DagangNews Skip to main content

Tawaran jual pesawat CN-235 kepada Filipina dapat kukuhkan status industri pertahanan Indonesia

Pesawat CN235 buatan PTDI.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 17 Jan - Indonesia menawarkan kepada Filipina untuk membeli pesawat rondaan maritim (MPA) dan operasi antikapal selam CN-235 bagi meningkatkan keupayaan angkatan laut negara tersebut.

 

Tawaran itu dikemukakan semasa pertemuan Presiden Joko Widodo ke atas Setiausaha Pertahanan Filipina, Gilberto Eduardo Gerardo C. Teodoro Jr. minggu lalu.

 

Cadangan ini dilihat sebagai langkah strategik untuk mempereratkan lagi kerjasama pertahanan kedua-dua negara.

 

Filipina mempunyai keperluan untuk mendapatkan pesawat rondaan maritim dan antikapal selam buatan Indonesia untuk melakukan pengawasan di kawasan perairannya yang luas.

 

Pesawat
TUDM mengoperasikan tujuh pesawat CN235 buatan Indonesia.

 

Tawaran ini juga menggariskan peranan Indonesia sebagai rakan pertahanan penting di rantau ini dan keupayaan negara Garuda itu dalam pembuatan pertahanan.

 

Dalam kalangan negara ASEAN, Indonesia adalah negara kedua selepas Singapura yang dilihat menonjol dalam membangunkan industri pertahanan sehingga menembusi pasaran antarabangsa.

 

Pada Ogos lepas, syarikat PT PAL memulakan kerja pembinaan satu daripada dua kapal pengangkut sepanjang 124 meter untuk Tentera Laut Filipina.

 

Indonesia sebelumnya telah membina dua kapal sokongan logistik kepada Filipina iaitu pada tahun 2016 dan 2017.

 

Pesawat
Pesawat NC212i Filipina.

 

Tahun lalu Indonesia juga berjaya memuktamadkan penjualan enam buah pesawat pengangkut ringan NC212i serta alat ganti kepada Filipina.

 

Ini merupakan perolehan kedua selepas dua buah pesawat sama yang dibuat 10 tahun lalu.

 

Jadi, sudah semestinya Indonesia mempunyai rekod yang sangat baik sebagai pembekal peralatan pertahanan kepada Filipina.

 

CN-235 pula ialah pesawat jarak sederhana dua enjin yang dibangunkan bersama antara CASA Sepanyol (kini bergabung dengan Airbus) dan pengeluar Indonesia IPTN (kini PTDI). 

 

Ia beroperasi sebagai pesawat pengangkut, perhubungan dan pengawasan udara.

 

Pesawat

 

Kebanyakan CN-235 dihasilkan untuk pelanggan tentera, malah beberapa syarikat penerbangan juga memilih pesawat ini untuk perkhidmatan serantau. 

 

Pesawat standard CN-235 juga telah dikonfigurasikan menjadi pesawat MPA yang boleh dilengkapi dengan persenjataan bagi menjadikan operasi pengawasan maritim lebih efektif.

 

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengoperasikan tujuh buah pesawat CN-235 buatan Indonesia yang digunakan 30 tahun lalu.

 

Tiga daripadanya telah dinaik taraf sebagai pesawat pengawasan maritim menerusi program pembangunan pertahanan yang dibiayai oleh Amerika Syarikat.

 

Ia dilakukan sepenuhnya oleh pihak PT Dirgantara di Bandung.

 

Inisiatif itu bertujuan membantu kerajaan Malaysia dalam meningkatkan keselamatan maritim dan kesedaran domain maritim dalam Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia.- DagangNews.com