Tawaran saham persendirian 20% AirAsia hanya penyelesaian sementara | DagangNews Skip to main content

Tawaran saham persendirian 20% AirAsia hanya penyelesaian sementara

AirAsia Group Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Pengumuman AirAsia Group Bhd. (AAGB) untuk melaksanakan tawaran saham persendirian hingga 20% dilihat sebagai satu langkah yang betul bagi syarikat tersebut.

 

MIDF Research berkata, bagaimanapun, langkah tersebut hanyalah satu inisiatif penyelesaian sementara AAGB untuk mengatasi masalah kewangan.

 

"Pengurusan menunjukkan anggaran konservatif AAGB memerlukan antara RM2 bilion hingga RM2.5 bilion untuk mereka berada pada kedudukan selesa hingga akhir tahun kewangan 2021.

 

"Bagaimanapun, paling tidak, tawaran ini memberi ruang sementara kepada pengurusan syarikat untuk memikirkan penyelesaian lebih lanjut dan kekal berkaitan masalah kewangan kumpulan," jelas MIDF Research.

 

Semalam, AAGB mengumumkan cadangan untuk melaksanakan tawaran saham persendirian sehingga 20% daripada 3.34 bilion saham sedia ada bagi mengumpul sekitar RM454.51 juta.

 

Langkah itu adalah untuk mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan sedikit kelebihan dalam aset bersih serta penggearan bersih.

 

Hasil kasar akan digunakan untuk penyelesaian lindung nilai bahan api, bayaran pajakan dan penyelenggaraan pesawat serta perbelanjaan modal kerja am.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research memberitahu, pihaknya yakin bahawa AAGB akan berjaya mengeluarkan sepenuhnya tawaran saham persendirian pada harga 68 sen.

 

Bagaimanapun, hasil berjumlah RM455 juta yang diperolah daripada tawaran saham persendirian itu adalah sangat kecil jika dibandingkan dengan keperluan tunai AAGB.

 

Jelasnya, AAGB menggunakan tunai sebanyak RM2 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020 meskipun terdapat moratorium ansuran sewa pesawat sejak April 2020 yang menjimatkan penggunaan tunai sekitar RM1.5 bilion antara April hingga September 2020.

 

Mengulas berkaitan ancaman COVID-19, CGS-CIMB Research berkata, sekatan perjalanan berkemungkinan akan dilanjutkan lebih lama lagi berbanding tarikh terakhir sekatan iaitu 4 Februari.

 

"Ramalan kami untuk impak trafik AAGB Malaysia meningkat dua kali ganda untuk 2021 iaitu 51% daripada lalu lintas 2019 dan 26% daripada lalu lintas 2020," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com