KUALA LUMPUR 15 Nov - CIMB Securities mengurangkan unjuran pendapatan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) sebanyak 16.4% dan 25.4% untuk tahun kewangan 2025 (FY25) dan FY26 masing-masing disebabkan penambahan pekerjaan yang lebih perlahan daripada jangkaan.
Katanya, buku pesanan MMHE berjumlah RM5.4 bilion pada suku ketiga 2024 (3QFY24), turun 5.1% tahun ke tahun dan menandakan penurunan 13.9% daripada RM6.3 bilion pada FY23.
"Perkiraan kami menunjukkan kumpulan itu hanya bertambah sekitar RM1.9 bilion dalam pesanan baharu tahun ini.
"Ia hanya meliputi antara 27% hingga 32% daripada buku tender bernilai RM6 bilion hingga RM7 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu kembali merekodkan keuntungan bersih RM15.27 juta pada 3QFY24 berbandig kerugian bersih RM105.21 juta pada 3QFY23 disumbangkan prestasi lebih baik dalam segmen kejuruteraan berat dan marin.
Kumpulan itu meraih perolehan jualan sebanyak RM906.5 juta pada suku itu, peningkatan RM268 juta daripada RM638.5 juta pada suku ketiga 2023, didorong oleh sumbangan perolehan yang lebih tinggi daripada kedua-dua segmen.
Di peringkat operasi, MMHE mencatat keuntungan sebanyak RM20.8 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak RM121 juta berbanding kerugian operasi RM100.2 juta pada suku ketiga 2023, didorong oleh prestasi yang lebih kukuh dalam segmen kejuruteraan berat dan marin.
Bagi sembilan bulan pertama tahun ini, MMHE mencatat keuntungan bersih RM99.61 juta berbanding kerugian bersih RM490.37 juta pada sembilan bulan pertama 2023 manakala perolehan meningkat kepada RM2.79 bilion daripada RM2.19 bilion sebelum ini.
Firma penyelidikan itu melaraskan andaian penambahan buku pesanannya untuk syarikat kepada RM2.1 bilion, RM2.5 bilion dan RM2.5 bilion masing-masing untuk FY24, FY25 dan FY26.
"Ramalan kami adalah berdasarkan pengebilan kemajuan pembinaan daripada buku pesanan yang tinggal, selepas menggambarkan anggaran kerja siap, dan kami tidak memasukkan sebarang pembalikan kos kerana kekurangan panduan jelas daripada MMHE," katanya.
CIMB Securities berkata, keputusan bagi 9MFY24 kumpulan itu adalah selaras dengan jangkaannya pada 75.8% daripada unjuran keuntungan bersih teras FY24F penuh tahun, tetapi melebihi jangkaan konsensus pada 90%.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham itu dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 44 sen sesaham.- DagangNews.com