NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - AirAsia menawarkan harga serendah RM13 sehala bagi mereka yang membuat tempahan penerbangan antara Sabah dan Sarawak bermula hari ini sehingga 7 November ini.
Tempahan pada tarikh sama juga turut menyediakan tawaran RM99 sehala bagi oranga ramai yang ingin ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dari mana-mana bandar termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Penerbangan itu sedia ditempah menerusi aplikasi Super App dengan menekan ikon ‘Flights’ untuk tempoh perjalanan bermula 8 November 2021 hingga 29 Oktober 2022 dan mereka yang mempunyai Akaun Kredit juga boleh menggunakannya untuk menebus penerbangan itu dan promosi adalah terhad..
AirAsia akan menambah kekerapan penerbangan ke, dari dan dalam negeri Sabah bermula 1 November berikutan keputusan kerajaan negeri untuk melonggarkan syarat kemasukan kepada rakyat Malaysia dan warganegara asing sempena pembukaan semula sektor pelancongan domestik.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, bukan sahaja rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan yang lebih baik dengan kekerapan penerbangan yang lebih tinggi untuk pulang ke kampung halaman mereka, malah ramai pelancong dapat menerokai Sabah yang kaya dengan alam semula jadi, juadah yang enak dan rakyat yang peramah.
“Kami bersedia untuk kembali memulakan perjalanan ke Sabah dengan protokol kesihatan dan keselamatan ketat untuk menjaga kesejahteraan tetamu dan kakitangan kami.
"AirAsia akan mengendalikan hampir 300 penerbangan mingguan mulai 1 November, menghubungkan Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dengan Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di Semenanjung Malaysia dan Sarawak iaitu peningkatan sebanyak 75% daripada lebih 170 penerbangan mingguan pada masa ini.
“AirAsia adalah pemain jangka panjang dalam industri pelancongan Sabah dan kami berharap dapat terus bekerjasama dengan kerajaan negeri, Lembaga Pelancongan Sabah dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk memastikan standard pematuhan tertinggi bagi setiap penerbangan yang dikendalikan," katanya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah sebelum mengumumkan bahawa pelawat dari luar negeri tidak lagi perlu mendapatkan kelulusan kemasukan dari kerajaan negeri dan pihak polis mulai hari ini.
Selain menerima vaksin Covid-19 sepenuhnya, pelawat hanya perlu mengemukakan keputusan negatif COVID-19 sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK-AG manakalan mereka yang berumur antara 12 dan 18 tahun mesti menerima sekurang-kurangnya satu dos daripada dua dos vaksin COVID-19.
Kanak-kanak di bawah 12 tahun mestilah melakukan perjalanan bersama ibu bapa atau penjaga yang telah divaksin sepenuhnya.
Pelancongan adalah penyumbang ekonomi ketiga terbesar di Sabah selepas sektor pertanian dan pembuatan, serta menyediakan lebih daripada 80,000 pekerjaan di negeri ini.-DagangNews.com