TCS dapat kontrak bina Hotel Moxy Putrajaya bernilai RM108.38 juta | DagangNews Skip to main content

TCS dapat kontrak bina Hotel Moxy Putrajaya bernilai RM108.38 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Ogos - TCS Group Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, TCS Construction
Sdn. Bhd. memperoleh kontrak bernilai RM108.38 juta bagi membina Hotel Moxy Putrajaya. 

 

Ia memperoleh kontrak itu daripada  IOI City Hotel Sdn. Bhd., yang merupakan anak syarikat tidak langsung milik penuh IOI Properties Group Bhd.

 

Kontrak pembinaan bangunan utama setinggi 19 tingkat itu akan mengambil tempoh selama 16 bulan bermula 1 September 2022 dan dijangka siap menjelang 31 Disember 2023.

 

Terletak di perbandaran bersepadu IOI Resort City, hotel Moxy Putrajaya akan dihubungkan terus dengan IOI City Mall dan diuruskan oleh Marriott International Inc.

 

Pengarah Urusan TCS, Datuk Ir Tee Chai Seng berkata, perolehan kontrak itu akan meningkatkan nilai projek kumpulan dan menambahbaik pendapatan. 

 

"Berdasarkan pengalaman dan rekod prestasi kami dalam pembinaan bangunan, kami yakin dapat melaksanakan kerja dalam tempoh masa ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mengenai prospek kumpulan, beliau berkata, kumpulan kekal berhemat di tengah-tengah persekitaran operasi yang mencabar dalam sektor pembinaan.

 

Katanya, TCS mengambil langkah proaktif bagi mendepani cabaran tersebut dengan mengutamakan kualiti pelaksanaan dan penyampaian projek yang tepat pada masanya.

 

"Terdapat tanda-tanda bahawa isu rantaian bekalan semakin bertambah baik. Di samping itu, sektor pembinaan bersedia untuk pulih dengan beberapa projek mega kerajaan yang dihidupkan semula seperti Aliran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Lebuh Raya Pan Borneo.

 

"Projek mega ini akan menjadi pemangkin untuk menarik minat terhadap projek kediaman dan komersial sekali gus merangsang pasaran hartanah," jelasnya. - DagangNews.com