TCS Group Holdings raih kontrak pembinaan bernilai RM255 juta di Taman Desa | DagangNews Skip to main content

TCS Group Holdings raih kontrak pembinaan bernilai RM255 juta di Taman Desa

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Mac -TCS Group Holdings Berhad mengumumkan anak syarikatnya, TCS Construction Sdn. Bhd. berjaya mendapatkan kontrak bernilai RM255 juta daripada Remedy Power Sdn. Bhd. untuk kerja-kerja pembinaan tapak dan bangunan pejabat di Taman Desa, di sini.

 

Projek itu merangkumi kerja-kerja pembinaan ruangan komersial, podium, tempat letak kereta bawah tanah, lobi dan ruangan pelbagai kemudahan.

 

Pengarah Urusan TCS, Datuk Ir. Tee Chai Seng berkata, pihaknya gembira kerana berjaya mendapatkan projek pertama untuk tahun ini terutama ketika berdepan suasana yang mencabar dan pemberian kontrak itu dilihat selaras dengan pemulihan ekonomi. 

 

Beliau berkata, kontrak bernilai RM255 juta itu menjadikan tempahan kumpulan itu sebanyak RM1.85 bilion sekali gus memberikan mereka pendapatan yang cerah untuk tempoh tiga tahun.

 

"Keutamaan kami adalah memastikan semua projek kami siap pada waktunya dan kami juga sedar dengan cabaran seperti gangguan rantaian bekalan, peningkatan harga bahan mentah dan kekurangan tenaga kerja yang memberi kesan kepada industri pembinaan.

 

"Di TCS kami sentiasa menangani isu ini secara proaktif dalam memastikan ia dalam keadaan terkawal.

 

"Terdapat petanda bahawa harga sesetengah bahan semakin stabil dengan rantaian bekalan dilihat semakin normal dan ia akan membantu mengurangkan tekanan. Kami juga sentiasa berhati-hati dengan cabaran yang mendatang tetapi kekal optimis dengan tahun 2022," katanya dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Tempoh kontrak itu adalah selama 30 bulan dan projek berkenaan akan bermula pada April 2022 dengan jangkaan siap sepenuhnya pada September 2024. - DagangNews.com