TCS Malaysia perluas peluang pekerjaan, latihan graduan ke portal HPC | DagangNews Skip to main content

TCS Malaysia perluas peluang pekerjaan, latihan graduan ke portal HPC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Julai - Tata Consultancy Services (TCS) Malaysia sedang mengembangkan program menjana pekerjaan di dalam sektor teknologi dengan menyenaraikan peluang pekerjaan dan latihan graduan di dalam Pusat Penempatan HRDF (HPC) yang dilancarkan oleh Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

 

HPC merupakan sebuah portal sehenti yang memadankan para majikan daripada pelbagai sektor dan industri dengan calon-calon yang tepat.

 

Ketua Negara TCS Malaysia, Jeevan Rajoo berkata, organisasi perkhidmatan teknologi maklumat (IT), perundingan dan penyelesaian perniagaan itu bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Malaysia bagi menjana lebih banyak pekerjaan digital untuk rakyat Malaysia.

 

“TCS menyokong usaha negara untuk merapatkan jurang kemahiran digital dan menjana pekerjaan yang bergaji tinggi di dalam sektor teknologi untuk golongan muda di Malaysia.

 

Jeevan Rajoo
Jeevan Rajoo

 

“Menerusi kerjasama dengan HPC di dalam inisiatif ini, kami merancang untuk memacu kelestarian digital yang merangkumi keseluruhan ekosistem Malaysia, sebagaimana yang dinyatakan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

HPC menyasarkan untuk mengisi kekosongan jawatan yang tersedia, menyediakan peluang latihan dan pembangunan, selain daripada menangani isu jurang kemahiran modal insan serta menghubungkan para pekerja dengan senarai pelatih dan jurulatih yang luas untuk kaunseling dan nasihat kerjaya.

 

Ketika ini, TCS telah menyenaraikan hampir 400 pekerjaan berkemahiran tinggi di dalam HPC, termasuk penganalisis perniagaan, pakar keselamatan siber, jurutera awan, arkitek perusahaan, pembina tindanan penuh atau full stack developer dan pereka UI/UX.

 

Selain daripada itu, TCS turut menawarkan Program Pembelajaran Awal atau Initial Learning Programme (ILP) kepada semua pekerja baharu.

 

Program yang berjaya di peringkat global ini ialah satu program pembelajaran dan latihan amali selama dua bulan untuk para graduan yang baru menamatkan pengajian, selain bertujuan memenuhi jurang kemahiran.

 

ILP memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran teknologi seperti pengkodan, analisis data dan pembangunan perisian atau aplikasi, serta kemahiran insaniah seperti penyelesaian masalah, kreativiti dan kemahiran komunikasi.

 

Sejak ILP dilancarkan pada tahun 2020, TCS Malaysia telah berjaya mengambil 100 graduan yang baru menamatkan pengajian sepanjang tempoh pandemik menerusi empat sesi pengambilan, dan menempatkan mereka di dalam projek-projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini.

 

Kemahiran teknologi maju menerima permintaan tinggi di Malaysia, sejajar dengan unjuran oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

 

“Di MDEC, kami percaya bahawa masa depan digital Malaysia terletak di tangan semua warga Malaysia, dan bagi mengembangkan ekonomi digital, amatlah penting supaya setiap orang memainkan peranan masing-masing dalam menyumbang pengetahuan dan kemahiran, untuk mendorong kesejahteraan bersama yang saksama melalui pekerjaan berkualiti tinggi.

 

“Dengan pengetahuan dan pengalaman global mereka, TCS berada di tempat yang tepat untuk membantu memajukan ekonomi digital, sejajar dengan pemacu utama yang telah kami kenalpasti, iaitu memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital, mewujudkan perniagaan yang digerakkan secara digital dan memacu pelaburan dalam sektor digital.

 

“Ekonomi di Malaysia masih dalam tahap pemulihan, jadi penambahan peluang yang membolehkan warga Malaysia meningkatkan kemahiran dan melatih semula pasti akan membantu,” jelas Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff - DagangNews.com