TDM Berhad diiktiraf antara 5 Syarikat Perladangan Terbaik FTSE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

TDM Berhad diiktiraf antara 5 Syarikat Perladangan Terbaik FTSE Bursa Malaysia

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 16 Julai – Anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, TDM Berhad tersenarai antara lima syarikat perladangan terbaik di Malaysia selepas memperoleh penarafan tiga bintang dalam siri indeks FTSE Bursa Malaysia.

 

Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata pencapaian itu diumumkan susulan semakan separa tahunan yang dilakukan pada bulan Jun 2024.

 

“Dalam penarafan ini, TDM berjaya mengungguli senarai 39 syarikat perladangan, sekaligus menempatkan diri sebaris dengan syarikat-syarikat ternama seperti KLK Berhad, IOI Corporation, SD Guthrie Berhad dan TH Plantations Berhad.

 

“Pada bulan Disember 2023, TDM buat pertama kalinya disenaraikan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia dan Indeks Shariah FTSE4Good Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan media.

 

 

Najman Kamaruddin
                              Najman Kamaruddin

 

 

Najman berkata, semakan tersebut memberikan TDM penarafan dua bintang daripada empat bintang bagi penggredan untuk persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

Namun begitu, dalam semakan terbaru pada Jun 2024, TDM telah berjaya meningkatkan penarafannya kepada tiga bintang.

 

“Penarafan ini amat penting bagi TDM dalam usaha mendapatkan kepercayaan dan keyakinan daripada pihak berkepentingan termasuk pelabur, pelanggan, pekerja dan komuniti yang lebih luas.

 

“Pencapaian ini juga menjadi tanda aras untuk syarikat dalam mengejar kelestarian dan kejayaan jangka panjang dengan terus menambah baik amalan ESG sebagai teras perjalanan syarikat,” katanya.

 

Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi daripada semua pihak, termasuk kakitangan Kumpulan TDM, rakan niaga, pelanggan dan semua yang mendukung perjalanan kejayaan tersebut.

 

“Kami komited untuk terus berusaha meningkatkan amalan ESG dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan.

 

“Pencapaian ini mencerminkan usaha keras dan dedikasi TDM dalam memastikan operasi perladangan mereka memenuhi standard tertinggi dalam aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus,” ujarnya. - DagangNews.com