TDM terima tawaran Ikhasas CPO ambil alih RKA dan SRA Indonesia bernilai RM115 juta | DagangNews Skip to main content

TDM terima tawaran Ikhasas CPO ambil alih RKA dan SRA Indonesia bernilai RM115 juta

Proses pelupusan ini memberi peluang kepada TDM dan anak syarikatnya untuk keluar dari operasi Indonesia.

KUALA LUMPUR 21 Mac - TDM Bhd telah menerima tawaran daripada Ikhasas CPO Sdn Bhd untuk mengambil alih dua anak syarikatnya di Indonesia yang rugi pada harga RM115 juta.

 

Dua anak syarikat yang rugi tersebut ialah PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezeki Abadi (SRA), tidak menguntungkan sejak tiga tahun kewangan lalu berakhir 31 Dis 2018 (FY18), FY19 dan FY20, menurut TDM, dan tidak dijangka akan menguntungkan dalam tempoh terdekat.

 

TDM menerima tawaran daripada Ikhasas, yang terlibat dalam perniagaan minyak sawit dan perdagangan dan pengeksportan produk sawit, masing-masing untuk memperoleh 93.75% dan 95% daripada RKA dan SRA.

 

Dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia hari ini, TDM memberitahu bahawa Ikhasas juga akan mengambil alih 6.25% dan 5% ekuiti daripada RKA dan SRA masing-masing daripada pemegang saham minoriti TDM — waris sah Haji Rahman.

 

Andri selaku wakil lantikan waris Haji Rahman, pada 18 Mac (Jumaat lalu) telah memberi aku janji kepada TDM untuk antara lain menyertai TDM dalam cadangan pelupusan itu.

 

Menurut TDM, Ikhasas hendaklah membayar kumpulan itu sejumlah RM2.3 juta, mewakili 2% daripada balasan pelupusan, dalam tempoh tujuh hari perniagaan dari tarikh penerimaan TDM menerima tawaran itu.

 

Proses pelupusan ini memberi peluang kepada TDM dan anak syarikatnya untuk keluar dari operasi Indonesia dan menumpukan sumbernya dalam operasi di Malaysia, kata syarikat minyak sawit itu.

 

Saham TDM ditutup naik satu sen atau 3.85% kepada 27 sen semasa pasaran bursa ditutup hari ini, dengan 1.94 juta saham diniagakan, memberikan syarikat itu nilai sebanyak RM465.18 juta. - DagangNews.com