Tealive lancar penggunaan sanitasi tangan bersama Lifebuoy | DagangNews Skip to main content

Tealive lancar penggunaan sanitasi tangan bersama Lifebuoy

 

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Jenama minuman teh serantau terkemuka, Tealive mula melancarkan penggunaan pensanitasi tangan Lifebuoy di semua cawangan Malaysia. 

 

Inisiatif ini juga termasuk 200 cawangan yang menyediakan kemudahan pensanitasi tangan automatik, bagi menjamin perlindungan pelanggan dengan kerjasama Unilever Food Solutions.

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn. Bhd., Bryan Loo berkata, Tealive memilih Lifebuoy kerana kualiti dan rekod pencapaian yang cemerlang dalam penjualan rangkaian produk penjagaan kebersihan.

 

Katanya, Tealive mengutamakan kepuasan dan pengalaman luar biasa bagi pelanggan sebelum mereka menjejakkan kaki ke mana-mana cawangan. 

 

"Pelanggan boleh memesan dan melakukan transaksi pembayaran secara dalam talian sebelum atau setelah mereka tiba di cawangan berhampiran. 

 

“Kami telah menyediakan kemudahan pensanitasi tangan sejak tahun lalu dan kami ingin memperkasakan inisiatif ini bagi memastikan pelanggan lebih yakin akan keselamatan diri mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengurus Perniagaan bagi Rantaian & CPU OEM, Unilever Food Solutions, Frederick Tan berkata, pada era pandemik ini sewajarnya memberi penekanan bagi industri makanan dan minuman untuk melindungi pekerja, pelanggan serta mempraktikkan amalan penjagaan kebersihan makanan dan sanitasi.

 

“Selain daripada kerjasama bersama rakan kongsi industri makanan dan minuman dalam menghasilkan menu menarik, Unilever Food Solutions sentiasa mengutamakan kebersihan penyediaan dan pengendalian ramuan makanan. 

 

"Oleh  itu, kami amat berbesar hati atas peluang bekerjasama dengan Tealive, dan dengan kemudahan pensanitasi tangan automatik kami, Lifebuoy dapat membantu menyekat penularan COVID-19 dan memastikan persekitaran lebih selamat bagi pelanggan, kakitangan dan rakan penghantaran mereka,” jelasnya. 
 

Menerusi Pelan Kelestarian Hidup Unilever, Lifebuoy telah menetapkan sasaran yang tinggi bagi amalan kebersihan tangan lebih 1 bilion orang menjelang 2020, satu mercu jaya yang telah dicapai pada 2019.

 

Sebagai penggiat utama dalam penjagaan kebersihan tangan lebih sedekad dengan mengendalikan program perubahan perlakuan terbesar, Lifebuoy mula memberi lebih penekanan dalam mendidik orang awam kepentingan kebersihan tangan sejak awal pandemik. - DagangNews.com