Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 9 Feb.- Syarikat penyedia penyelesaian ekosistem digital, Techna-X Berhad (TXB) membuat pelaburan berjumlah RM12.5 juta dalam syarikat MBits Digital Sdn. Bhd. (MBits Digital) dengan memperoleh 25% kepentingan dalam syarikat telco-media.
Pengarah Eksekutif Techna-X, Datuk Jared Lim berkata, pelaburan yang dibuat TXB itu adalah sebahagian daripada rancangan kumpulan untuk mewujudkan penyedia penyelesaian transformasi digital paling lengkap di negara ini.
"MBits menawarkan kerjasama yang luar biasa bersama strategi transformasi digital Techna-X. Techna-X mempunyai objektif yang jelas untuk menjadi syarikat transformasi digital terkemuka di Malaysia.
"Digitizing bermaksud mempunyai liputan akses internet di seluruh negara hingga perkhidmatan dapat diberikan melalui platform digital termasuk pedagang, perbankan, penilaian kandungan dan sebagainya. Ini memerlukan pembangunan infrastruktur bermula daripada serat optik hingga rangkaian mudah alih.
"Pembangunan infrastruktur menara untuk frekuensi rangkaian dan penggunaan serat optik memerlukan lesen dan sudah diperoleh MBits Digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MBits adalah pengendali Stesen TV Protokol Internet dan pencipta platform digital terkemuka yang memberi tumpuan kepada ekosistem media telco, selain mendapat sokongan lesen yang dikeluarkan oleh kerajaan.
MBits adalah satu-satunya syarikat yang memiliki lesen penyiaran penuh serta lesen untuk spektrum telco penuh di Malaysia.
Syarikat berkenaan telah melancarkan perkhidmatan selular, data dan jalur lebar pada Jun 2020 dan perkhidmatan kandungan LIFE & PLAY pada Oktober 2020.
Sebanyak 40 juta daripada 32.7 juta populasi rakyat Malaysia adalah pengguna kepada jaringan internet.
Jumlah tersebut bakal menjadi pengguna kepada MBits sebagai penyedia perkhidmatan berasaskan digital.
Sasaran pasaran segera MBits adalah lebih tertumpu kepada golongan memerlukan iaitu kumpulan B40, pelajar sekolah dan universiti serta pekerja asing. - DagangNews.com