TEKUN Nasional sediakan pinjaman untuk nelayan | DagangNews Skip to main content

TEKUN Nasional sediakan pinjaman untuk nelayan

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Nov. - Dalam usaha kerajaan membantu nelayan untuk memasarkan hasil laut mereka, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan menyediakan pinjaman menerusi agensinya, TEKUN Nasional.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, golongan nelayan juga disarankan untuk mencari sumber pendapatan lain serta memberi fokus kepada aktiviti pelancongan yang mampu menarik pelancong dalam dan luar negara.

 

“Kami sedia bekerjasama dengan nelayan memandangkan apabila menjual ikan, mereka ditakrifkan sebagai usahawan.

 

"Sekiranya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberikan geran yang tidak mencukupi, mereka boleh bekerjasama dengan TEKUN Nasional untuk memperolehi pinjaman dan boleh mengembangkan perniagaan,” katanya.

 

Beliau berkata, nelayan di kawasan Kuala Selangor boleh menjana pendapatan sampingan dalam pelancongan ekologi dengan keindahan semula jadi habitat bangau yang menjadi tarikan pelancong serta pertunjukan bot berhias pada waktu malam.

 

Sementara itu, Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pejabat LKIM Selangor yang berpusat di Seksyen 11, Shah Alam akan berpindah ke Kompleks LKIM Kuala Selangor di sini tahun hadapan supaya berhampiran dengan aktiviti nelayan.

 

“Justifikasi pemindahan pejabat adalah supaya pegawai lebih intim dengan nelayan dan boleh tengok peluang apa yang ada untuk nelayan dengan lebih dekat,”katanya.-DagangNews.com