Telco tamatkan rangkaian 3G secara berperingkat | DagangNews Skip to main content

Telco tamatkan rangkaian 3G secara berperingkat

3G

KUALA LUMPUR 6 Jan. - Usaha menamatkan semua rangkaian (3G) oleh syarikat telekomunikasi (telco) dijangka dilaksanakan secara berperingkat menjelang akhir tahun 2021.

 

Kenanga Research berkata, penamatan itu seiring dengan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

 

"Ini bagaimanapun bergantung kepada kecekapan pengurusan infrastruktur sedia ada bagi memastikan kualiti rangkaian yang optimum.

 

“Spektrum 3G itu berkemungkinan besar dapat dimanfaatkan kemudian bagi memacu keupayaan 4G dalam usaha melonjakkan sasaran ketersambungan Jendela.

 

“Bagi kemajuan seterusnya, adalah diharapkan kita akan mempunyai infrastruktur yang kukuh untuk pelancaran rangkaian 5G kebangsaan pada pasca 2022,” jelas Kenanga Research seperti dilapor Bernama.

 

Mengulas lanjut, Kenanga Research memberitahu, syarikat telefon bimbit dijangka mengalami tekanan penyusutan lebih kecil terhadap purata pendapatan seunit (terutama prabayar) pada suku akan datang.

 

Hal ini kerana pengguna lebih tertarik dengan ketersediaan pelan data tanpa had.

 

Jumlah langganan juga dijangka meningkat apabila kebimbangan mengenai aspek kemampuan itu semakin reda.

 

"Oleh kerana usaha industri yang lebih cenderung terhadap model operasi lebih kecil dengan pengoptimuman penggunaan sumber, pelaburan dan usaha dalam tempoh terdekat, adalah dijangka ini tidak memberi jaminan kepada pelabur mengenai potensi ganjaran sehingga ke peringkat menyeluruh.

 

"Berikutan itu, kami percaya pelaburan berkemungkinan lebih tepu pada masa ini apabila pelabur lebih menumpukan aktiviti lebih rancak, sekurang-kurangnya bagi suku akan datang," kata Kenanga Research lagi.

 

Dalam nota kajian itu, Kenanga Research mengambil pendekatan untuk mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi. - DagangNews.com