Teleport tawar penghantaran lebih pantas serendah RM6 | DagangNews Skip to main content

Teleport tawar penghantaran lebih pantas serendah RM6

Perkhidmatan penghantaran Teleport yang mementingkan penghantaran yang lebih pantas.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - Cabang logistik AirAsia Digital, Teleport menawarkan perkhidmatan penghantaran yang lebih pantas dengan harga tetap.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Pete Chareonwongsak berkata, perkhidmatan yang ditawarkan itu lebih mudah, pantas dan boleh diakses oleh semua masyarakat.

"Teleport membawa sesuatu yang inovatif kepada sistem penghantaran yang sering dianggap perlahan atau membebankan. Misi kami adalah untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran ke rumah anda dalam masa 24 jam di mana sahaja di seluruh Asia Tenggara.

"Bermula hari ini, kami melancarkan perkhidmatan ini untuk semua jenis perniagaan yang ingin membuat penghantaran ke bandar-bandar utama di Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkhidmatan pantas itu menawarkan harga semua dalam satu termasuk pengambilan, pengangkutan dan penghantaran.

Harga yang ditawarkan itu juga adalah untuk kesemua perniagaan kecil atau besar selain hanya memerlukan kod khas untuk menggabungkan pesanan oleh pelanggan-pelanggan mereka dengan sistem Teleport secara automatik.

"Tanpa mengira jumlah penghantaran, para peniaga akan menikmati harga tetap dan perkhidmatan penghantaran yang lancar. 

"Kami berharap untuk terus menyokong perniagaan kecil dan sederhana berkembang dalam ekonomi digital yang berentak pantas dengan menawarkan perkhidmatan dan harga tetap terbaik bermula serendah RM6," tambahnya.

Tambah beliau, pesawat AirAsia dan pasukan rakan penghantar komuniti Teleport menjadi komponen paling penting dalam melaksanakan perkhidmatan penghantaran dalam masa 24 jam.

“Kami amat berbangga dengan pasukan penghantar kami yang dianggap sebagai wira kerana mereka adalah orang yang anda (pelanggan) temui semasa menerima pesanan anda, dan pengalaman pelanggan amat penting bagi kami.”

"Walaupun penghantaran tidak selalu dilakukan dengan kereta mewah, mereka komited untuk membuat penghantaran dengan pantas dan tulus," ujarnya lagi. - DagangNews.com