Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Julai - Sektor media akan terus terjejas dengan keputusan kerajaan melanjutkan fasa pertama di bawah Pelan Pemulihan Negara sehingga kes jatuh di bawah paras 4,000.
Ini kerana Penganalisis Kenanga Investment Bank Research, Pritika Modhgil berkata, keadaan ini akan menyebabkan pendapatan pengiklanan (adex) yang rendah.
"Bagaimanapun, usaha kerajaan untuk mempercepatkan vaksinasi bagi mencapai imuniti kelompok pada Disember 2021 akan memberi prospek lebih baik kepada pemain industri media pada suku keempat dan seterusnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan statistik Nielsen bagi separuh pertama 2021, jumlah kasar adex berkembang 20% kepada RM2.8 bilion berbanding RM2.3 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
Pada suku kedua, jumlah kasar adex mencatat pertumbuhan 6% suku ke suku dan 20% setakat ini. Segmen panggung wayang terus terjejas dengan langkah sekatan berterusan dengan merosot sehingga 83%.
Tetapi, sebaliknya, adex bagi segmen televisyen siaran percuma meningkat 55% kepada RM1.6 bilion dan memperoleh penguasaan pasaran yang besar setakat ini.
Kenanga Research juga mendapati segmen digital susut 8% dengan sebahagian besarnya diheret turun oleh prestasi suku kedua apabila segmen itu merosot 12% suku ke suku.
"Oleh itu, dengan melihat kepada platform tradisional seperti televisyen, ia masih relevan kepada pengiklan untuk memasarkan produk mereka kepada pelanggan.
"Adex televisyen dijangka mengalami peningkatan apabila sekatan pergerakan berlarutan sehingga suku ketiga tahun ini, ditambah pula dengan siaran langsung Olimpik Tokyo 2020," katanya.
Pritika berpendapat, Media Prima Bhd. akan meraih manfaat yang besar memandangkan ia memiliki penguasaan pasaran dalam adex siaran percuma televisyen iaitu hampir mencecah 75%.
Penjenamaan semula NTV7 kepada Didik TV menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, menyaksikan adex bagi saluran ini melonjak 56% kepada RM73 juta, mencerminkan perbelanjaan iklan pada suku kedua 2021 adalah tertinggi sejak suku pertama 2019.
"Ini menunjukkan kerjasama baharu ini membuahkan hasil kepada kumpulan dan mendorong penonton yang lebih tinggi bagi saluran berkenaan," katanya.
Firma itu juga melihat kerjasama Astro Malaysia Holdings Bhd. dengan platform OTT seperti Disney+ Hotstat dan Netflix akan meningkatkan asas langganan kumpulan.
"Namun, kami kekal berhati-hati terhadap kos kandungan terutama membabitkan program antarabangsa seperti Olimpik Tokyo dan Euro 2020," tambahnya.
Kenanga Research mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor media dengan harga sasaran bagi Media Prima ialah 69 sen manakala Astro, RM1.20. - DagangNews.com