Temasya University e-LEAGUE (UEL) bermula 4 Julai, pendaftaran 14 Jun ini | DagangNews Skip to main content

Temasya University e-LEAGUE (UEL) bermula 4 Julai, pendaftaran 14 Jun ini

KUALA LUMPUR 28 Mei — Esports Business Network (EBN) dan Prime Sports International (PSI) menjalin kerjasama bagi melancarkan University e-League (UEL) yang pertama, iaitu sebuah liga e-sukan varsiti seluruh negara.

 

Dijadual bermula pada 4 Julai sehingga 12 September 2021, UEL akan menyaksikan penyertaan melebihi 300 pasukan e-sukan universiti yang akan bertanding untuk empat kejuaraan dengan hadiah terkumpul sebanyak RM20,000.

 

Dirancang untuk disiarkan secara dalam talian, liga ini akan memaparkan beberapa kejuaraan yang menarik termasuk Mobile Legends: Bang Bang, League of Legends, League of Legends: Wild Rift dan Valorant.

 

Menerajui usaha bersama untuk memperkasa para pelajar adalah penaja rasmi UEL yang merangkumi MSI dan SEGi University & Colleges, sementara penaja lain akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Para pelajar dari universiti awam dan swasta dari seluruh Malaysia dijemput untuk menyertai UEL dan tempoh pendaftaran akan terbuka di seluruh negara pada 14 Jun 2021.

 

“Menimba inspirasi daripada budaya sukan peringkat kolej di luar negara, wawasan UEL adalah untuk menyemai rasa bangga di dalam pelajar Malaysia mewakili universiti mereka dan pada masa yang sama, menekankan nilai-nilai pertandingan yang sihat antara institusi pembelajaran tinggi. Bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi, kami bercita-cita menjadikan UEL sebagai platform pilihan bukan sahaja bagi para pelajar tetapi semua pemegang kepentingan untuk berhubung dan menjadi landasan mencapai kejayaan,” kata  Yong-Chul Yun, Ketua Pegawai Eksekutif Prime Sports International (PSI).

 

 

Esports
Yong-Chul Yun, CEO Prime Sports International dan Adrian Gaffor, CEO Kumpulan, Esports Business Network bergambar pada majlis tandatangan perkongsian dan pelancaran University e-League.

 

 

Seiring dengan pertandingan tersebut, UEL menawarkan tambahan laluan praktikal bagi peminat e-sukan yang berhasrat membangunkan kerjaya di dalam e-sukan. Pakatan antara PSI dan EBN menawarkan tempat bernilai bagi para pelajar dengan membuka pintu kepada program amali, bengkel dan pengalaman sambil bekerja di dalam organisasi mereka.

 

Berkongsi keseronokannya terhadap pelancaran UEL, Adrian Gaffor, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Esports Business Network (EBN) menambah “Pelancaran UEL adalah bukti kepada misi kami yang lebih luas iaitu untuk memperkasa para pelajar dengan pengalaman berharga, bukan sahaja menerusi pertandingan, tetapi juga peluang pembangunan kerjaya di dalam pelbagai bidang di dalam ekosistem e-sukan menerusi program-program perkongsian. Ia amat mengujakan bagi pihak EBN untuk membuka jalan bagi masa hadapan pertandingan peringkat pengajian tinggi dan pada masa sama, membangunkan ekosistem untuk setiakawan dan kerjasama pasukan.”

 

Para pelajar dari universiti awam dan swasta di seluruh Malaysia dialu-alukan untuk menyertai UEL dan program-program sokongannya. Jawatankuasa Pendaftaran telah ditubuhkan bagi mengendalikan pendaftaran dan pasukan yang turut berserta digalakkan mengemukakan permohonan mereka menerusi laman web rasmi pada 14 Jun 2021 bagi menjamin tempat mereka di dalam pertandingan sulung ini.

 

 Untuk berita terkini dan maklumat mengenai UEL, sila lawat http://www.universityeleague.com/ atau @UELMY di Facebook - DagangNews.com