IPOH 15 Nov - Tempahan penginapan hotel di negeri ini khususnya bandar raya Ipoh semasa Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) sekarang dijangka meningkat selain faktor cuti umum yang diumumkan kerajaan.
Sehubungan itu orang ramai yang ingin melancong atau pulang mengundi disaran membuat tempahan awal bagi mengelakkan ketiadaan bilik kosong.
Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnis Malaysia (MyBHA) Perak, Zamari Muhyi berkata, cuti pada Jumaat dan Sabtu ini dijangka menggalakkan lagi orang ramai untuk bercuti.
“Setakat ini saya telah menerima banyak panggilan daripada pengunjung untuk menempah penginapan sepanjang tempoh aktiviti berkempen PRU15.
“Berdasarkan pengalaman lepas, tempahan hotel akan meningkat sebaik sahaja penamaan calon.
"Ini terbukti, kerana mereka yang terlibat dalam kempen PRU akan tinggal sekurang-kurangnya 10 hingga 20 hari sehingga selesai pilihan raya," ujarnya.
Zamari turut mengingatkan orang ramai agar berhati-hati elak diperdaya pihak tidak bertanggungjawab seperti ejen jualan hotel palsu.
Sementara itu, Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Impiana, Normah Ahmad memberitahu, tempahan penginapan awal lebih baik bagi melancarkan urusan serta tidak terlepas promosi dari pihak hotel.
“Sememangnya telah menjadi budaya rakyat Malaysia di mana sering bertindak pada saat akhir untuk membuat tempahan penginapan dan akhirnya merugikan mereka sendiri.
“Kami sering menerima tempahan saat akhir termasuklah pada musim pilihan raya ini.
"Saya berharap PRU yang tinggal beberapa hari sahaja lagi akan digunakan sebaik mungkin untuk mereka yang ingin pulang mengundi.
“Sempena bulan PRU ini, pihak kami memberi potongan harga 10 peratus untuk penginapan selama tiga hari dua malam," ujarnya. - DagangNews.com