Temujanji vaksin di PPV Columbia Asia Taiping: Sila periksa MySejahtera anda | DagangNews Skip to main content

Temujanji vaksin di PPV Columbia Asia Taiping: Sila periksa MySejahtera anda

PETUGAS di PPV Columbia Asia Taiping pada hari pertama operasi PPV bermula pada 5 Julai lalu.

 

 

TAIPING 13 Julai – Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Columbia Asia Taiping meminta penduduk sekitar daerah Taiping supaya memeriksa MySejahtera untuk mengesahkan temujanji vaksin masing-masing.

 

Pengurus Pemasaran hospital, Mohd Yazid Md Yunus berkata, minggu ini antara yang ramai bakal divaksin di PPV Columbia Asia Taiping adalah penduduk sekitar Taiping ini.

 

“Harap semua dapat bersiap sedia, sila lihat Mysejahtera masing-masing. Tolong juga lihat temujanji untuk ibu bapa yang sudah berumur,” katanya kepada DagangNews.com di sini hari ini.

 

Beliau berkata, orang ramai boleh menghubungi PPV Columbia Asia Taiping untuk pertanyaan lanjut di talian 05-820 8888.

 

Hospital tersebut telah berfungsi sebagai pusat pemberian vaksin bagi penduduk bandar tersebut, mulai 5 Julai lalu dan hanya untuk orang ramai yang mendapat makluman rasmi menerusi MySejahtera sahaja, dan tiada `walk-in’ akan dilayan.

 

Mohd Yazid sekali lagi mengingatkan orang ramai yang sudah menerima makluman vaksinasi, supaya hadir sekurang-kurangnya 30 minit lebih awal daripada masa yang dipanggil.

 

“Sila patuhi SOP, bawa bersama dokumen penting iaitu kad pengenalan dan telefon bimbit yang anda gunakan untuk mendaftar aplikasi MySejahtera.

 

“Ini kerana anda perlu mengimbas aplikasi itu semasa datang untuk vaksinasi,” kata beliau.

 

columbia

 

Mohd Yazid menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa dengan teliti data MySejahtera mereka mengenai makluman atau temujanji supaya ingat tarikh, masa dan pusat vaksinasi yang betul seperti tertera di MySejahtera.

 

“Bagi anda yang memerlukan bantuan untuk bergerak seperti kerusi roda, hanya seorang peneman dibenarkan masuk bersama-sama.

 

“Sila pakai pakaian yang longgar atau berlengan pendek bagi memudahkan proses vaksinasi,” ujar beliau.

 

Beliau juga mengingatkan orang ramai yang tidak sihat supaya tidak datang ke pusat PPV, termasuk mereka yang sudah membatalkan atau mengatur balik tarikh temujanji.

 

columbia
SEORANG wanita yang telah melalui proses vaksinasi di PPV Columbia Asia Taiping pada 5 Julai lalu.

 

“Maklumkan kepada kakitangan kami jika anda ada isu kesihatan atau mengambil sebarang ubat termasuk pain killers sebelum divaksinasi,” katanya.​

 

Orang ramai boleh menghubungi Hospital Columbia Asia Taiping di talian 05-820 8888​ atau emel: customercare.taiping@columbiaasia.com ​untuk maklumat lanjut. – DagangNews.com