Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin diumum sebagai Presiden/ CEO Agrobank | DagangNews Skip to main content

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin diumum sebagai Presiden/ CEO Agrobank

KUALA LUMPUR 5 Jan - Agrobank mengumumkan pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 3 Januari 2022.

 

Beliau memiliki pengalaman selama 29 tahun dalam bidang perbankan dan kewangan, serta disifatkan individu yang berkaliber, berpengalaman dan mempunyai sejarah prestasi yang terbukti membanggakan dalam industri ini.

 

Sebelum berkhidmat di Agrobank, beliau memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan di beberapa institusi kewangan di Malaysia iaitu Pelaburan MARA Bhd (PMB), Kuwait Finance House dan HSBC Bank Malaysia Bhd.

 

Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, institusi perbankan itu yakin menerusi pengalaman luas Tengku Ahmad Badli Shah dalam perancangan strategik, pembangunan perniagaan, perundangan dan pembiayaan patuh syariah, ditambah pula dengan kemahiran kepimpinan, ia akan mengukuhkan lagi kedudukan Agrobank sebagai sebuah peneraju institusi kewangan pertanian terkemuka di Malaysia.

 

"Pelantikan Tengku Ahmad Badli Shah menandakan dedikasi berterusan Agrobank untuk memastikan pencapaian dalam menerajui Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021-2025 sekali gus memastikan kelestarian sektor pertanian negara.

 

"Pihak Lembaga Pengarah Agrobank juga yakin bahawa beliau mampu memacu dan menerajui fasa penting Agrobank seterusnya membantu komuniti yang kurang mendapat perhatian serta mengubah landskap kewangan berasaskan pertanian melangkaui perbankan sejajar dengan panduan yang digariskan dalam pengantaraan berasaskan nilai (VBI)," katanya dalam kenyataan hari ini.


 

Datuk Mustapha Buang
                                                                Datuk Mustapha Buang

 


Mengulas mengenai pelantikannya, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, Agrobank menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam memenuhi peranan yang telah dimandatkan kepada institusi itu terutama dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

Katanya, ia menandakan kejayaan kepimpinan pengurusan bank dan dedikasi serta komitmen warga kerja Agrobank.

 

"Saya dengan rasa rendah diri dan berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Agrobank, iaitu sebuah institusi kewangan pembangunan (IKP) yang diamanahkan untuk memastikan pembangunan serta membentuk landskap sektor pertanian negara," katanya.

 

Beliau menegaskan, menerusi SBP Agrobank yang telah dilancarkan pada tahun lalu dan komitmen berterusan pihak pengurusan kanan serta dedikasi warga kerja Agrobank, beliau menaruh keyakinan tinggi terhadap pembangunan kejayaan bank itu.

 

"Fokus saya kini adalah untuk meneruskan momentum kejayaan yang ada dan pada masa yang sama mewujudkan impak yang positif dalam memastikan kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan pulangan kepada pihak berkepentingan kami," katanya.

 

Tengku Ahmad Badli Shah adalah ahli Institusi Pengarah Korporat Malaysia (ICDM).

 

Beliau menghadiri Program Kepimpinan Kewangan Islam di Kolej Clare, Universiti Cambridge, United Kingdom dan Program Kepimpinan Eksekutif di Universiti Cornell, Amerika Syarikat.

 

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, LLB (Kepujian) di Universiti East Anglia, Norwich, England. - DagangNews.com