Tentera 26 negara berada di Malaysia jayakan Eksesais Keris Aman II 2023 | DagangNews Skip to main content

Tentera 26 negara berada di Malaysia jayakan Eksesais Keris Aman II 2023

Pasukan tentera pelbagai negara menjalani latihan dalam Eksesais Keris Aman II 2023 di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Tentera 26 negara berada di Malaysia bagi menjayakan Eksesais Keris Aman II 2023 anjuran bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan United States Pacific Command (USPACOM).

 

Ia bertujuan mempersiapkan kemahiran bagi menyertai misi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia kepada negara peserta.

 

Keseluruhan pegawai dan anggota dari negara yang terlibat adalah seramai 847 orang.

 

Antara negara-negara terlibat seperti Brunei, Brazil, Filipina, India, Jerman, Korea Selatan, Norway, Salvador, Singapura, Serbia, Thailand dan Vietnam. 

 

Brigadier General Michael R. Drowley
Brigadier Jeneral Michael R. Drowley memberi tabik hormat semasa merasmikan Eksesais Keris Aman II 2023.

 

Eksesais selama dua minggu di Port Dickson, Negeri Sembilan ini dilaksanakan di bawah Inisiatif Program Operasi Keamanan Global (GPOI) Amerika Syarikat.

 

Selain itu, ia dapat meningkatkan kerjasama operasi pelbagai negara dengan semua negara-negara serantau dan antarabangsa.

 

Eksesais ini juga sekali gus dapat meningkatkan kesiagaan dan kemahiran anggota Kontijen Malaysia MALBATT 850-11 yang akan melaksanakan misi operasi Pengaman PBB di Lubnan pada Oktober 2023 ini. 

 

Pelaksanaan eksesais ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Staff Training Event (STE), Field Training Event (FTE) dan Critical Enabler Capability Enhancement (2CE).

 

Latihan
Salah satu modul latihan yang dijalankan kepada para peserta.

 

STE memberi penumpuan kepada empat modul operasi pengaman iaitu perancangan, operasi, logistik dan Civil Military Coordination (CIMIC) yang akan dilaksanakan dengan konsep latihan staf.

 

FTE adalah latihan medan akan melibatkan seramai 264 orang peserta yang terdiri 2 platun dari Malaysia dan 9 platun dari negara-negara peserta.

 

Ia untuk melatih peserta-peserta dalam aspek pelaksanaan mandat, penguatkuasaan, pengendalian ketenteraman awam, bantuan kemanusiaan dan kesihatan. 

 

Latihan

 

Latihan
Eksesais Keris Aman II 2023 mendedahkan peserta pada corak operasi sebagai tentera pengaman. 

 

Terdahulu, majlis pembukaan Eksesais Keris Aman II 2023 disempurnakan Director Joint Training and Exercises U.S. Indo-Pacific Command, Brigadier General Michael R. Drowley.

 

Turut hadir Asisten Ketua Staf J3 Markas Angkatan Bersama iaitu Mejar Jeneral Dato’ Nur Hafis Abdul Karim. - DagangNews.com