Tentera Darat terima penyerahan pelbagai jenis kenderaan, senjata baharu  | DagangNews Skip to main content

Tentera Darat terima penyerahan pelbagai jenis kenderaan, senjata baharu 

Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain melihat senjata antikereta kebal RPG. - Dagangnews.com
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 26 Okt - Rancangan untuk menambah aset-aset lebih baik dalam Tentera Darat terus dilaksanakan apabila beberapa kelengkapan baharu diterima.

 

Penyerahan aset-aset ini telah dilakukan bertempat di 92 Depot Kenderaan Pusat (DKP), Kem Batu Kentomen di sini.

 

Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan, penyerahan tersebut telah diselaraskan oleh Bahagian Penyelidikan dan Penilaian Tentera Darat (BPP TD).

 

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, Tentera Darat telah menerima beberapa perolehan baharu secara berperingkat-peringkat sejak awal tahun ini.

 

"Antaranya Kenderaan Jenis B (KJB), sistem persenjataan serta alat pelbagai seperti Heavy Expanded Mobility Tactical Truck - Multi Cargo Palletised (HEMTT - MCPLS), Trak 5 Tan dan 1 Tan GS Kargo, Trak 3 Tan GS Kargo (MALBATT), Kenderaan Penarik Meriam dan Trak 1 Tan Fitted For Radio (FFR).

 

"Manakala sebanyak 249 laras senjata baharu telah diperoleh melibatkan 72 unit mortar 81mm (set lengkap) bersama kenderaan yang dilengkapi TALOS Fire Control System, 27 laras pelancar grened berganda 40mm dan 150 laras senjata antikereta kebal (Rocket Propelled Grenade).

 

"Turut diterima ialah 98 unit bot tempur yang boleh membawa maksimum 12 penumpang dalam satu masa," ujar beliau pada majlis penyerahan di sini hari ini.


 

ATM

 


Hadir mengiringi PTD adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Haji Abdul Aziz Samsi.

 

Pada September lalu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, kerajaan telah berbelanja kira-kira  RM1.389 bilion beli kelengkapan baharu Tentera Darat.

 

Ia bagi pembelian kelengkapan dan aset baharu sebagai sebahagian daripada proses pemodenan ketumbukan tersebut.


 

ATM

 

ATM
Wakil syarikat DEFTECH menyerahkan kunci kenderaan kepada Zamrose (kanan) sebagai simbolik penyerahan.

 


Antara sistem persenjataan, mobiliti dan sistem komunikasi yang telah dan akan diterima oleh angkatan itu secara berperingkat-peringkat.

 

Perolehan ini adalah bagi meningkatkan keupayaan dan kesiagaan pertahanan daratan dalam mendokong inspirasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai sebuah angkatan yang berwibawa. - DagangNews.com