Terbitan sukuk Air Selangor catat lebihan langganan sebanyak 3.6 kali | DagangNews Skip to main content

Terbitan sukuk Air Selangor catat lebihan langganan sebanyak 3.6 kali

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Okt - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah memuktamadkan penetapan harga dan penerbitan SRI Sukuk Kelestarian Air Selangor (SRI Sukuk) bernilai RM1 bilion.

 

Disokong oleh tempahan kukuh yang diperoleh daripada pelabur berjumlah RM3.6 bilion, tawaran itu dinaikkan daripada terbitan awal bernilai RM700 juta kepada RM1 bilion pada penutupan buku, mencerminkan lebihan langganan sebanyak 3.6 kali.

 

Penyedia perkhidmatan air itu berkata suku terbabit merangkumi lima siri bagi tempoh 7 hingga 25 tahun yang merupakan bahagian keenam di bawah program sukuk murabahah sedia ada bernilai RM10 bilion.

 

RAM Ratings telah mengesahkan penarafan penilaian AAA/Stabil dan P1 ke atas program sukuk murabahah tersebut pada 11 September 2023, tambahnya dalam kenyataan media hari ini.

 

Penetapan harga baharu SRI Sukuk ini merupakan tawaran terbesar Air Selangor sehingga kini, yang telah menerima sambutan luar biasa daripada pelabur.

 

“Keyakinan berterusan pelabur terhadap kredit Air Selangor melambangkan sokongan mereka terhadap agenda kemampanan syarikat untuk memberi impak positif kepada alam sekitar dan komuniti sekeliling,” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Abas Abdullah.

 

 

Abas Abdullah
Abas Abdullah

 

 

Menurut kenyataan tersebut, hasil daripada penerbitan SRI Sukuk akan digunakan untuk projek SRI yang layak dan memenuhi kriteria sebagaimana dinyatakan dalam Kerangka Sukuk Pembangunan Kelestarian Air Selangor dan/atau Garis Panduan/Kerangka Kelestarian.

 

Selain itu, syarikat terbabit juga aktif memperkasakan inisiatif utamanya yang menyasarkan pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) selaras dengan aspirasi dan matlamat yang ditetapkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

 

Inisiatif utama Air Selangor turut merangkumi, antara lainnya, pembangunan Skim Bekalan Air Rasau, pemuliharaan dan penyelenggaraan aset air, serta penggantian paip-paip yang sudah usang.

 

Sehubungan itu, Air Selangor juga telah menetapkan matlamat untuk operasi neutral karbon menjelang tahun 2040 bagi Skop 1 dan Skop 2 dengan memanfaatkan projek kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.

 

“Projek yang layak serta mengikut garis panduan termasuklah, antara lainnya, bekalan air mampan dan projek pengurusan air mampan, yang mana semuanya selari dengan usaha dan komitmen Air Selangor terhadap kemampanan sistem bekalan air untuk generasi masa depan,” katanya.

 

Air Selangor turut mendapat maklum balas positif daripada pasaran berkenaan tawaran SRI Sukuk Kelestarian lanjutan berikutan permintaan kukuh dalam kalangan pelabur, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kredit kukuh Air Selangor.

 

Tawaran ini juga memperlihatkan peruntukan yang seimbang kepada institusi kewangan (36%), syarikat insurans (32%), pengurus aset (29%) dan agensi kerajaan (4%).  - DagangNews.com