'Terkejut' dengan Cukai Makmur, lemahkan sentimen pasaran Q4 - laporan CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

'Terkejut' dengan Cukai Makmur, lemahkan sentimen pasaran Q4 - laporan CGS CIMB

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 3 Nov - Kejutan negatif daripada Bajet 2022 terutama cadangan pelaksanaan Cukai Makmur akan melemahkan sentimen pasaran dan menyebabkan risiko penurunan kepada unjuran pemulihan pada suku keempat 2021, menurut CGS-CIMB dalam laporan aliran dana bulanannya hari ini

 

Jelasnya, pasaran telah mengalami pembetulan baru-baru ini yang mencerminkan impak pendapatan negatif daripada cukai 'durian runtuh' itu dan juga kenaikan duti setem ke atas dagangan saham, seperti diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022, Jumaat lalu.

 

Firma itu berkata, para pemerhati pasaran akan menanti penjelasan selanjutnya mengenai perkembangan cadangan cukai tersebut terutama menjelang pengundian Bajet 2022 pada 13 Disember ini.

 

Pada masa sama, tambahnya, pelabur akan menilai sejauh mana cukai ini akan menjejaskan prospek pendapatan korporat pada 2022.

 

"Anggaran kasar kami menunjukkan bahawa Cukai Makmur boleh menurunkan pendapatan KLCI pada 2022 sebanyak RM4.4 bilion atau 6.6% (bagi kes senario terburuk) dan mengurangkan sasaran kami bagi KLCI akhir tahun ini pada 1,629 mata sebanyak 108 mata kepada 1,521 mata.

 

"Malah, sesetengah syarikat pula mungkin mengurangkan bayaran dividen mereka disebabkan kadar cukai yang tinggi," katanya. 

 

Menurut CGS-CIMB, terdapat beberapa faktor yang akan mempengaruhi sentimen pelabur sepanjang November ini, antaranya termasuklah pelan kerajaan untuk membuka semula sempadan Malaysia kepada pelancong antarabangsa, situasi semasa pandemik COVID-19 di peringkat global, krisis hutang Evergrande dan krisis tenaga di China. 

 

Pelabur juga, katanya, akan menantikan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Monetari Bank Negara Malaysia hari ini, diikuti mesyuarat OPEC (4 November) dan data prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga yang akan diumumkan 12 November ini.

 

"Dari segi politik pula, pelabur akan memerhati dengan rapat perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan sejauh mana kemajuan yang dicapai hasil daripada memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan. 

 

"Pelantikan politik atau sebarang perubahan membabitkan tahap kesetiaan Ahli Parlimen juga akan menjadi fokus kepada para pelabur," jelasnya.

 

Berdasarkan laporan bulanan pada Oktober itu, CGS-CIMB berkata, indeks utama FBM KLCI berkembang 24.5 mata atau 1.6% bulan ke bulan untuk ditutup pada paras 1,562 mata berikutan pembelian ekuiti daripada pelabur asing yang optimis terhadap pemulihan ekonomi negara apabila ekonomi dibuka semula.

 

Bagaimanapun, volum purata dagangan harian susut 6% bulan ke bulan kepada 4.5 bilion manakala nilai purata dagangan harian susut 7% bulan ke bulan dan 30% tahun ke tahun kepada RM3.05 bilion.

 

"Pelabur asing membeli bersih ekuiti Malaysia sebanyak RM1.6 bilion pada Oktober, menandakan bulan ketiga berturut-turut pembelian bersih dan tertinggi bulanan sejak Januari 2018.

 

"Sebaliknya, pelabur institusi tempatan kekal menjual bersih ekuiti sebanyak RM1.9 bilion manakala pembelian pelabur runcit menurun 65% bulan ke bulan kepada RM333 juta," katanya.

 

Sepanjang bulan lalu juga menyaksikan semua sektor merekodkan peningkatan kecuali bagi sektor penjagaan kesihatan. 

 

"Tiga sektor iaitu artanah, tenaga dan perladangan adalah sektor terbaik pada Oktober manakala yang berprestasi rendah adalah penjagaan kesihatan, utiliti dan telekomunikasi," tambah firma berkenaan. - DagangNews.com