KUALA LUMPUR 4 Nov - Sebanyak 50% golongan kaya di Malaysia, bijak merancang kewangan untuk persaraan bagi memastikan keperluan masa depan mereka terjamin secara menyeluruh, menurut Laporan Kualiti Hidup 2024 HSBC yang mengkaji hubungan antara kecergasan kewangan, kesihatan fizikal dan mental serta peranan perancangan.
Menurut kajian itu, perancangan bijak untuk persaraan memerlukan rancangan kewangan yang komprehensif di mana 84% daripada golongan kaya di Malaysia mengatakan mereka merancang, sedar tentang jumlah yang diperlukan untuk persaraan (86%), kerap menyemak prestasi simpanan persaraan (88%) dan mematuhi pelan simpanan persaraan (86%).
Laporan yang meninjau lebih 11,000 individu kaya di 11 negara termasuk Malaysia mendedahkan, negara ini menduduki tempat kedua tertinggi dalam kalangan pasaran yang ditinjau apabila 73% daripada golongan itu mengatakan mereka berada di landasan kewangan untuk mencapai matlamat persaraan.
Tinjauan itu mentakrifkan individu kaya sebagai mereka yang mempunyai aset boleh dilabur sebanyak RM436,197 hingga RM8.7 juta.
Mengenai purata simpanan persaraan yang diperlukan, golongan kaya di Malaysia menyatakan mereka memerlukan sebanyak RM3.61 juta, lebih rendah berbanding di Hong Kong (RM4.71 juta) dan Singapura (RM4.32 juta), tetapi lebih tinggi daripada India (RM1.7 juta) dan Indonesia (RM1.48 juta).
Sebanyak 48% daripada golongan kaya di Malaysia memberitahu, mereka mahu bekerja selepas bersara.
Mengenai tiga kebimbangan utama mereka terhadap persaraan, golongan kaya di Malaysia menyebut kemerosotan dalam kesihatan fizikal (44%), kos penjagaan kesihatan yang lebih tinggi (40%) dan inflasi akan menjejaskan simpanan persaraan mereka (38%).
Memandangkan penjagaan kesihatan merupakan kebimbangan utama, tidak hairanlah 44% daripada golongan kaya di Malaysia mempunyai perlindungan insurans yang mencukupi sebagai matlamat kewangan utama.
Sebanyak 72% daripada golongan kaya di Malaysia juga merupakan perancang yang bijak dalam pengumpulan kekayaan, lebih tinggi daripada Singapura (61%), Taiwan (61%) dan Hong Kong (60%).
Perancang yang bijak dalam pengumpulan kekayaan sentiasa menyemak pelan kewangan mereka, mendapatkan nasihat profesional, serta mempunyai portfolio pelaburan yang dipelbagai merentas jenis produk, kelas aset, sektor, tema dan geografi.
Mengulas mengenai dapatan tinjauan itu, Ketua Bahagian Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, semua orang mahukan persaraan yang selesa dan kunci untuk mencapainya ialah dengan membina penampan kewangan yang mencukupi.
"Simpanan sahaja mungkin tidak mencukupi. Di sinilah pentingnya perancangan kewangan dan membuat keputusan pelaburan dan perlindungan yang betul. Itulah yang ditekankan oleh Laporan Kualiti Hidup 2024.
"Dengan perkembangan ekonomi Malaysia dan usahanya ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, adalah wajar responden yang kaya di Malaysia mengatakan bahawa mereka memperuntukkan 24% daripada pendapatan bulanan mereka untuk pelaburan, sekali gus menekankan kepentingan perancangan kewangan untuk masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, apabila kecergasan kewangan terkawal, ia akan memberi kesan berganda positif terhadap kesejahteraan mental dan fizikal, seterusnya membawa kepada kualiti hidup yang baik.
Tambahnya, dengan HSBC Premier dan Premier Elite, pihaknya mempunyai pasukan pengurus perhubungan dan penasihat kekayaan yang berdedikasi yang membantu pelanggan Premier dalam perancangan kekayaan untuk masa hadapan.
Selain itu, Linda berkata, produk dan perkhidmatan pengurusan kekayaannya yang komprehensif disesuaikan dengan risiko dan keperluan kewangan pelanggan, meliputi penyediaan perlindungan, pendidikan anak-anak, perancangan persaraan, penyelesaian pemindahan kekayaan dan kekayaan peribadi yang semakin meningkat.
"Kami juga menawarkan penyelesaian kewangan bagi memenuhi keperluan pengurusan kekayaan bagi pelabur bernilai tinggi dan sofistikated," ujar beliau. - DagangNews.com