Peningkatan kos, ketidakstabilan tukaran mata wang asing diramal beri kesan kepada pendapatan Unisem - CGS International | DagangNews Skip to main content

Peningkatan kos, ketidakstabilan tukaran mata wang asing diramal beri kesan kepada pendapatan Unisem - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Nov - Peningkatan kos serta ketidakstabilan tukaran mata wang asing diramal memberi kesan kepada pendapatan Unisem (M) Bhd pada masa hadapan.

 

CGS International Research berkata, terdapat beberapa faktor lain juga yang membuatkan mereka menyemak turun pendapatan sesaham  (EPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) hingga FY26 antara 30% hingga 49% berdasarkan andaian ringgit kepada dolar yang lebih rendah sebanyak 4.1 hingga 4.4 berbanding 4.3 hingga 4.5 sebelum ini.

 

Katanya, ia juga menggabungkan kos permulaan yang lebih tinggi berkaitan permulaan operasi baharunya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelarasan itu seterusnya mengurangkan unjuran pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan margin pelunasan kepada 20% hingga 24% berbanding 25% hingga 28% sebelumnya. 

 

"Setiap perubahan 5% dalam dolar memberi kesan kepada pendapatan sesaham FY25 hingga FY26 Unisem sebanyak 23%.

 

"Bagi mengurangkan kesan ini, Unisem akan menghentikan sementara pengambilan pekerja baharu dan meningkatkan automasi untuk meningkatkan kecekapan operasinya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras Unisem suku ketiga 2024 merosot sebanyak 22% tahun ke tahun (y-o-y) walaupun terdapat peningkatan 15% tahun ke tahun dalam hasil, kerana kumpulan itu mengalami margin operasi yang lebih rendah kesan pengukuhan ringgit berbanding dolar.

 

CGS International mengekalkan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) RM1.60 sesham memandangkan prospek pemulihan lemah serta tekanan daripada pengukuhan ringgit.- DagangNews.com