KUALA LUMPUR 21 Jan - Penyedia perisian pengurusan perniagaan terbesar yang beribu pejabat di UK, The Access Group (Access), melantik Lim Chee Gay sebagai Pengarah Urusan baharu untuk Pusat Operasi Global (GOC) mereka di Kuala Lumpur, Malaysia, berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Pelantikan itu menandakan satu langkah penting dalam strategi pertumbuhan serantau dan global kumpulan tersebut.
Selepas pelancaran GOC baharu pada November 2024, pusat tersebut bersama-sama dengan GOC lain di seluruh dunia akan menyokong 40% keperluan tenaga kerja global kumpulan serta memberikan kecemerlangan dalam kejuruteraan produk, sokongan pelanggan, kejayaan pelanggan, pemasaran jualan dan operasi.
Pelantikan Chee Gay juga mencerminkan cita-cita kumpulan di peringkat global bagi pusat inovasi bertaraf dunia yang memberdayakan pelanggan, menarik bakat terbaik, memacu kemajuan dalam produk dan AI, mempercepatkan pertumbuhan jualan serta menyampaikan kecemerlangan operasi.
Melalui GOC yang baharu itu, Access dijangka akan mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan baharu di Kuala Lumpur menjelang tahun 2027, sejajar dengan matlamat perkhidmatan moden Malaysia, iaitu untuk membina kumpulan bakat tempatan yang tangkas dan berdaya saing serta mencipta 500,000 pekerjaan digital bernilai tinggi menjelang 2025.
Chee Gay membawa pengalaman luas dalam membantu syarikat global mengembangkan operasi dan memacu peralihan dalam industri yang dinamik.
Beliau turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia Global di TDCX, penyedia perkhidmatan penyumberan luar proses perniagaan (BPO) yang berpusat di Singapura, di mana beliau dan pasukan kepimpinan kanan memimpin pengembangan syarikat daripada 3,000 kepada 19,000 pekerja dan berjaya menubuhkan 10 tapak operasi baharu dalam tujuh tahun.
Perjalanan kerjaya beliau selama 29 tahun merangkumi peranan kepimpinan penting di organisasi seperti AIA, Samsung, T-Systems dan Intel, di mana beliau bukan sahaja memegang jawatan utama, tetapi juga memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan, inovasi dan inisiatif perubahan.
Diiktiraf sebagai Ikon HR di Asia Tenggara, kecerdasan strategik dan semangatnya untuk inovasi terus memberi inspirasi kepada pertumbuhan organisasi yang bermakna.
Beliau juga merupakan profesor adjung dan ahli lembaga penasihat di beberapa universiti, yang memperlihatkan komitmennya untuk mencari dan mengembangkan bakat masa depan.
Chee Gay berkata, Access mempunyai visi yang jelas sebagai penyedia rumusan teknologi utama, menyampaikan nilai luar biasa melalui kecemerlangan operasi dan inovasi.
"Ini adalah masa yang menarik untuk menyertai Access. Kami mempunyai asas yang kukuh dan ini adalah masa yang tepat untuk memperdalam hubungan kami dalam komuniti dan memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan kami.
"Saya bertekad untuk menjadikan GOC baharu kami bertaraf dunia dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasukan berbakat kami untuk mengembangkan perniagaan dan menarik kemahiran terbaik di seluruh APAC untuk Access," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif The Access Group, Chris Bayne berkata, pusat GO di Loughborough, Timisoara dan Kuala Lumpur memainkan peranan penting dalam memacu daya cipta, membolehkan penyepaduan M&A yang lebih cepat dan menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa di skala global.
"Kami amat mengalu-alukan Chee Gay ke dalam kumpulan ini. Di bawah kepimpinannya di Kuala Lumpur, kami yakin beliau akan memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai hab penting dalam rangkaian global kami, memupuk kerjasama, inovasi dan kecemerlangan," ujarnya. - DagangNews.com