Aeronerve bangunkan teknologi AI tempatan tingkatkan kecekapan pertanian pintar | DagangNews Skip to main content

Aeronerve bangunkan teknologi AI tempatan tingkatkan kecekapan pertanian pintar

Papan pemuka platform TerraAgra membolehkan petani memantau semua petak yang diusahakan mereka bagi mendapatkan data terkini dan tepat.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 23 Okt - Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dimanfaatkan bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam sektor pertanian negara menggunakan kepakaran anak tempatan.

 

Ini yang dibuktikan syarikat Aeronerve apabila diberi kepercayaan bagi membangunkan jalan penyelesaian untuk pertanian moden.

 

Terletak di Bandar Baru Bangi, Selangor, syarikat ini memfokuskan kepada penyelesaian dalam bidang pesawat tanpa pemandu (UAS) dan kepintaran data geospatial.

 

Pada 14 Oktober lalu, Aeronerve menerima geran pemula MyHackathon 2024 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh agensi-agensi kerajaan. 

 

Perak
Ahnaf (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Aeronerve, Muslim Abdullah Zaik dan Ketua Pegawai Teknologi Aeronerve, Rusman Arief A Rahman (kanan) semasa menerima geran pemula MyHackathon 2024 di bawah MOSTI pada 14 Oktober lalu.
 

 

Dengan geran bernilai RM250,000, penerima perlu membangunkan satu penyelesaian dalam tempoh 12 bulan.

 

Ketua Pegawai Operasi Aeronerve, Ahnaf Ab Qais berkata, pihaknya telah membangunkan satu produk digital diberi nama TerraAgra yang telah dibangunkan melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama beberapa tahun. 

 

Menurut beliau, ia memfokuskan penyediaan solusi kepada sektor pertanian tepat dan pertanian pintar terutamanya penanaman padi.

 

“TerraAgra adalah platform sistem sokongan keputusan pintar bagi penanaman dan penuaian padi. 

 

“Ia telah dibangunkan sejak 3 tahun lepas, namun eksplorasi penyelesaian ini sudah berjalan selama 5 tahun.

 

Perak
Antara aktiviti mengumpul data-data di lapangan.

 

“Kami bangunkan TerraAgra ini bagi membantu pengurus ladang atau tanaman memantau penanaman dan penuaian mereka melalui Model Ramalan Hasil Tanaman menggunakan AI.

 

“Pengurus ladang atau tanaman mempunyai data terkini yang tepat untuk membuat tindakan dan aktiviti sesuai dengan keadaan pokok. 

 

“Kami yakin peladang dapat meningkatkan hasil dengan TerraAgra melalui aktiviti penanaman dan penuaian berasaskan data yang betul,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Aeronerve menggabungkan kemahiran anak-anak tempatan yang mempunyai bidang kepakaran masing-masing, khususnya dalam pembangunan perisian, geospatial, integrasi data, agronomi dan AI/ML

 

Spektrum kepakaran ini menjadikan Aeronerve satu pasukan yang berkebolehan untuk menyelesaikan projek dengan berkesan.

 

Perak
Aeronerve menggabungkan kemahiran anak-anak tempatan khususnya dalam pembangunan perisian, geospatial, integrasi data, agronomi dan AI/ML.

 

 

Menjelaskan lebih lanjut kata Ahnaf, kelangsungan daripada geran yang diterima ini bukan sahaja dapat dimanfaatkan petani tempatan, malah boleh diperluaskan.

 

“Bagi kami kemenangan apabila diberikan geran ini membuktikan solusi kami berjaya menarik minat pemilik masalah, dan mereka telah meletakkan kepercayaan kepada pihak kami untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. 

 

“Solusi yang kami bangunkan ini mempunyai pasaran yang luas bukan sahaja pasaran tempatan tapi juga peringkat ASEAN khususnya berkaitan penanaman dan perindustrian padi.

 

“Kami percaya permintaan pasaran terhadap solusi ini akan meningkat, maka kami berperanan untuk mematangkan lagi solusi TerraAgra dengan kerjasama MOSTI dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan supaya ia mampu menjadi solusi yang betul-betul berkesan dan menghasilkan impak.

 

“TerraAgra akan terus mencari peluang bagi mengembangkan kapasiti supaya kami dapat memberi khidmat kepada lebih banyak pengguna. 

 

“Kami sedang meneroka peluang pasaran luar negara khususnya negara pengeluar padi untuk ketengahkan platform ini,” jelas beliau. - DagangNews.com