Aerotrain KLIA kembali beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2025 | DagangNews Skip to main content

Aerotrain KLIA kembali beroperasi sepenuhnya pada suku pertama 2025

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Dis - Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijadualkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2025. 

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, fasa pengujian, pentauliahan dan kelulusan beroperasi aerotrain sudah bermula pada pertengahan September 2024. 

 

"Sejurus siap, pengangkutan itu boleh terus digunakan semula," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

 

September lalu, Loke dilaporkan berkata, dua set aerotrain sudah tiba dan sedang memasuki fasa pemasangan sebelum melalui peringkat pemeriksaan.

 

Beliau menjangkakan perkhidmatan itu mula beroperasi menjelang 31 Januari 2025.

 

Berhubung perjanjian baharu yang dimeterai berkaitan pelan penggantian aerotrain, beliau memberitahu, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sudah menandatangani surat anugerah (LoA) dengan ALSTOM Transport Systems (Malaysia) Sdn Bhd (Alstom), JV IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV) pada 12 Januari 2024.

 

"Berdasarkan analisis, pihak MAHB menjangkakan kos terkini ialah RM456.1 juta.

 

"Ia merangkumi kos cukai duti, faedah, pertukaran mata wang asing, perbelanjaan mobilisasi semula serta caj penyelarasan projek," katanya. - DagangNews.com