AirAsia lancar penerbangan terus Pulau Pinang-Shenzhen, kukuh hubungan antara dua bandar | DagangNews Skip to main content

AirAsia lancar penerbangan terus Pulau Pinang-Shenzhen, kukuh hubungan antara dua bandar

Oleh Shamsiah Zulkafli

GEORGETOWN 29 Okt - Penang Global Tourism (PGT) bersama AirAsia, memperkenalkan laluan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan Shenzhen bermula 28 Oktober 2024, yang merupakan satu langkah penting dalam meningkatkan hubungan antara Malaysia dan China, serta memupuk pertukaran budaya, ekonomi dan pelancongan yang lebih baik.

 

Untuk memperingati penerbangan sulung, satu majlis sambutan diadakan pada 29 Oktober 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Penang, dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Penang, Wong Hong Wai.

 

Laluan baharu Penang-Shenzhen akan beroperasi empat kali seminggu, memberikan kemudahan dan akses yang lebih baik kepada pelancong dari kedua-dua bandar. 

 

airasia

 

Pulau Pinang, yang terkenal dengan warisan budaya yang kaya, masakan bertaraf dunia dan mercu tanda sejarah, dijangka mendapat manfaat daripada kemasukan pelancong dari Shenzhen, yang juga satu daripada pusat ekonomi terkemuka di China.

 

Hong Wai berkata, laluan terus antara Pulau Pinang dan Shenzhen membuka peluang luar biasa untuk kedua-dua bandar, bukan sahaja dalam pelancongan, tetapi juga untuk pertukaran budaya dan perniagaan. 

 

"Penang telah lama menjadi pusat pelbagai budaya, dan laluan baru ihani akan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai destinasi antarabangsa terkemuka. 

 

"Kami teruja untuk menyambut lebih banyak pelawat dari China dan mengukuhkan hubungan kami dengan Shenzhen," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra juga menyatakan penghargaan terhadap penerbangan sulung terbabit.

 

"Kami berbesar hati dapat menyaksikan pelancaran laluan baharu ke China, kali ini dari hab ketiga terbesar kami, di Pulau Pinang. 

 

"Kami mengalu-alukan tetamu kami di penerbangan sulung dari bandar yang meriah ini ke Penang, yang memiliki warisan budaya yang kaya dan hidangan tempatan yang lazat," ujarnya.

 

Tambah beliau, sebagai syarikat penerbangan kos rendah asing terbesar di China, pihaknya percaya dapat menarik lebih banyak pelancong ke Pulau Pinang, terutamanya dengan inisiatif tanpa visa selama 15 hari yang sah sehingga akhir 2025. 

 

"Kami berharap dapat melancarkan lebih banyak laluan dari hab ini untuk menyokong matlamat pelancongan negeri, meningkatkan pengalaman perjalanan dan menyediakan pilihan perjalanan yang lebih berpatutan di seluruh rantau ini untuk tetamu kami," katanya.

 

Seiring dengan Pulau Pinang yang terus mengukuhkan peranannya sebagai destinasi utama untuk pertukaran budaya dan pelancongan, penerbangan terus itu akan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan ekonomi, mempromosikan pelancongan keagamaan dan memperkuatkan kedudukan Penang sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara.

 

Tiket promosi untuk laluan Pulau Pinang-Shenzhen akan bermula dari RM289 sehala. 

 

Tetamu boleh menempah penerbangan mereka melalui aplikasi AirAsia MOVE atau di airasia.com sehingga 3 November 2024 untuk perjalanan segera sehingga 30 Jun 2025. - DagangNews.com